STL: Guardians nyala semula peluang

Oleh Farizal Yusoff 27 Oktober 2019 1619
STL: Guardians nyala semula peluang
Peluang memburu kejuaraan semakin menyala apabila ATM Guardians mencipta kejutan menumpaskan pasukan pilihan, Perak Bison, 2-0 dalam Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Indera Mulia, Ipoh malam tadi.

Turun dengan semangat membayar hutang kekalahan kepada Bison dalam pusingan pertama, Guardians, yang diketuai tekong negara, Hairul Hazizi Haidzir, cukup bertenaga untuk memenangi set pertama 21-8.

Bison, yang menurunkan tekong import sensasi, Nattawhut Naewprom, gagal beraksi seperti biasa dan  jelas tertekan dengan harapan tinggi peminat untuk akur tewas 12-21 dalam set kedua.

Ketua jurulatih Guardians, Aswadi Abdullah, memuji persembahan pemainnya yang merekodkan kemenangan keenam berturut-turut dalam liga.

"Alhamdulillah, semua pemain beraksi cukup cemerlang untuk mengecewakan Bison di gelanggang mereka sendiri.

"Tidak ada sebarang rahsia, cuma saya minta mereka (pemain) memberikan yang terbaik dan jangan kecewakan penyokong yang sanggup turun ke Ipoh," ujarnya.

Aswadi, yang dipilih sebagai jurulatih terbaik STL musim lalu, terus mengharapkan prestasi tekal regu emasnya untuk mengalahkan Negeri Sembilan Antlers, malam ini.

"Tidak ada sebarang perubahan  pemain dan saya anggap ia sebagai satu lagi aksi sukar untuk menentang juara Divisyen 1 musim lalu itu yang dahagakan kemenangan," tambahnya.
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen