ATM Guardians mahu melebarkan rekod tanpa kalah apabila turun dalam aksi keempat menentang pendatang baru, Sabah Mountaineers, dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium MABA, malam ini.

Namun, pemain Guardians diingatkan supaya tidak terlalu yakin dan memandang rendah keupayaan Mountaineers biarpun lawan mereka kini berada di dasar liga tanpa sebarang kemenangan.

Ketua jurulatih Guardians, Aswadi Abdullah, mahu pemainnya membuang sikap terlalu yakin kerana dalam permainan sepak takraw, apa sahaja boleh berlaku.

"Biarpun mereka berada di dasar liga, Sabah Mountaineers perlu dihormati kerana memiliki tekong import (Wiraphong Phukoet) yang mampu menghasilkan servis 'ace'.

"Biarpun belum mencapai sebarang kemenangan, namun prestasi pemain mereka cukup hebat dan hanya mengalah dalam set penentuan.

"Kami akan turun dan bermain seperti biasa sambil memburu kemenangan keempat," katanya.

Aswadi juga membayangkan akan membuat sedikit rombakan ke atas regu utamanya yang berhempas-pulas menumbangkan Negeri Sembilan Antlers 2-1, malam tadi.

"Black (Asrie Isa) akan memulakan aksi terlebih dahulu bersama tekong kidal, Azwari Ishak, sambil dibantu Norfaizzul Razak.

"Harap gandingan ini mampu membentuk pertahanan mantap dan sedia menerima servis kencang tekong Mountaineers, Wiraphong," katanya.

Untuk rekod, ATM Guardians memiliki rekod bersih dengan enam mata hasil tiga kemenangan manakala Mountaineers masih memburu mata pertama.