STL: Guardians harap tuah Gem In Mall

Oleh Farizal Yusoff 18 Oktober 2019 528
STL: Guardians harap tuah Gem In Mall
ATM Guardians melaungkan keyakinan untuk terus mencipta kemenangan apabila turun menentang juara bertahan, Penang Black Panthers, dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL), malam ini.

Ketua jurulatih Guardians, Aswadi Abdullah, yakin pemainnya sudah belajar sesuatu daripada kekalahan 1-2 kepada Black Panthers dalam pusingan pertama lalu.

"Selepas mengalami mimpi ngeri di Spice Arena, Pulau Pinang, kami semakin pulih apabila mencatatkan kemenangan bersih di sini (Gem In Mall minggu lalu).

"Kami mengharapkan tuah gelanggang ini untuk terus mencipta kemenangan biarpun sedar Black Panthers juga dahagakan kejayaan untuk kekal di puncak liga," katanya.

Aswadi, yang dipilih sebagai jurulatih terbaik STL musim lalu, memberi isyarat mahu mengekalkan regu emasnya yang diketuai tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, pelibas, Afifuddin Razali dan Norfaizzul Razak.

"Tahniah kepada Hairul Hazizi yang dipilih pemain terbaik STL sepanjang minggu lepas.

"Harap anugerah itu beri lebih motivasi kepadanya untuk menebus kembali kekalahan kepada Black Panthers dalam pusingan pertama," katanya.

Untuk rekod, ATM Guardians kini di tangga kelima dengan 14  mata dalam carta STL manakala Black Panthers kekal sebagai pendahulu dengan 18 mata.
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen