ATM Guardians hanya mampu mencongak peluang memburu kejuaraan musim ini jika dapat menjinakkan tuan rumah, Perak Bison, dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL), hari ini.

Ketua jurulatih Guardians, Aswadi Abdullah, yakin pemainnya sedar kepentingan perlawanan yang dijangka menarik perhatian peminat itu untuk membanjiri Stadium Indera Mulia, Ipoh.

"Selepas mencatatkan lima kemenangan berturut-turut dalam liga, kini kami akan berdepan dengan Perak Bison yang dianggap pasukan pilihan musim ini.

"Saya harap pemain dapat beraksi seperti biasa sambil dapat menyerap tekanan daripada penyokong tuan rumah untuk mencipta kejutan," katanya.

Aswadi, yang dipilih sebagai jurulatih terbaik STL musim lalu, yakin tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, mampu meneruskan kehebatannya untuk menamatkan rekod tanpa kalah tekong import Bison, Nattawhut Naewprom.

"Peluang terbaik Hazizi untuk menebus kembali kehampaan tewas kepada Bison dalam minggu pertama.

"Harap pertahanan kami lebih ampuh bagi menahan serangan Bison dan menjadikan perlawanan ini menarik untuk disaksikan," tambahnya.