STL: Giliran Thunder kecewakan Bison

Oleh Azizan Hashim 27 Oktober 2019 1503
STL: Giliran Thunder kecewakan Bison
Perak Bison menerima satu lagi tamparan apabila tumpas 1-2 kepada Kuala Lumpur Thunder dalam Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Indera Mulia, Ipoh sebentar tadi.

Ia adalah kekalahan kedua berturut-turut Bison dalam saingan minggu ketujuh di hadapan penyokong sendiri.

Semalam, Bison tumbang kepada ATM Guardians 2-0.

Bagaimanapun, anak buah Ismi Hissan Ismail itu memberi persembahan lebih baik dalam perlawanan selama 79 minit itu.

Gandingan Nattawhut Naewprom, Azwan Muhrim dan Amirul Ramadhan Fazillah beraksi cemerlang untuk memenangi set pertama 21-16.

Bagaimanapun, trio itu gagal menangani kebangkitan Aizat Azmi, Amirul Zazwan Amir dan Norhafizi Razak dalam set kedua dan penentuan.

Keberkesanan servis Aizat serta kemantapan pertahanan menyaksikan kebangkitan Thunder untuk membuatkan tuan rumah itu menggigit jari dengan kekalahan 15-21, 14-21.

Kekalahan itu semakin menyukarkan misi Bison untuk memburu gelaran kerana perlu memenangi baki dua perlawanan terakhir menentang Johor Tigris dan Penang Black Panthers. 

Tentang Penulis

Azizan Hashim

Komen