Bomba Fighters diberikan tentangan sengit oleh pasukan pelapis, PSM Mavericks, sebelum mara ke separuh akhir saingan Divisyen 1, Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium Tititwangsa, Kuala Lumpur hari ini.

Kemasukan Al Hafiz Isa sebagai tekong memberikan Mavericks suntikan semangat untuk memimpin set pertama sehingga meraih mata ke-12.

Bagaimanapun, kesilapan pemain itu ketika melakukan servis menyaksikan Fighters kembali mengikat kedudukan sebelum menamatkan set pembukaan itu dengan kemenangan 21-17 menerusi sentuhan Nasyrul Izzuan Tolos.

Dalam set kedua, Mavericks terus mempertaruhkan Al Hafiz sebagai tekong disamping seorang lagi pemain gantian, Haziq Hairul Nizam, yang banyak melakukan rejaman bertenaga untuk memimpin Fighters 13-5.

Tekanan hadir ketika Fighters cuba mengejar kedudukan 9-15, di mana semakan video memberikan mata ke-16 buat Mavericks sebelum terus memacu mata untuk menang 21-11.

Fighters merekodkan lapan mata awal dalam set penentuan hasil kemasukan tekong utama, Irsyad Faiz Aziz, yang direhatkan pada penghujung set kedua

Tiada tanda-tanda pasukan pilihan itu untuk mengendurkan asakan sehingga memutlakkan kemenangan 21-7 hasil sentuhan terakhir Afiq Ramli.


Keputusan lain:
MASUM UPM Knights 2 Perlis Vipers 1
Melaka Titans 2 Terengganu Turtles 0
Kedah Eagles 0 Putrajaya Cyborg 2