STL: Empat pasukan rebut dua slot terakhir ke Piala Juara-Juara

Oleh Staff Writer 25 November 2018 1199
STL: Empat pasukan rebut dua slot terakhir ke Piala Juara-Juara
Bukan sahaja pemburuan untuk gelaran juara menuju ke pengakhiran dramatik tetapi persaingan menutup kalendar Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2018 di kedudukan enam teratas yang menghadiahkan tiket beraksi dalam Piala Juara-Juara STL juga tampak menjanjikan penyudah menarik. 

Dengan empat pasukan -- ATM Guardians, Penang Black Panthers, KL Thunder dan Johor Tigris -- sudah mengesahkan tempat mereka, baki dua slot menjadi rebutan antara Perak Bison, Kelantan Warriors, PDRM Defenders dan Terengganu Turtles. 

Lebih menarik, aksi terakhir esok akan menemukan Kelantan Warriors dengan Terengganu Turtles manakala Perak Bison pula berdepan PDRM Defenders, yang bermakna pemenang dua aksi berkenaan akan melengkapkan senarai enam pasukan teratas. 

Dalam aksi  hari ini, Kelantan Warriors terlepas peluang untuk mengesahkan tempat lebih awal apabila tewas 0-2 (17-21, 21-23) kepada Perak Bison manakala PDRM Defenders pula menghidupkan peluang mereka setelah mudah membenam Johor Tigris 2-0 (21-9, 21-13). 

Terengganu Turtles pula memastikan mereka masih kekal dalam persaingan setelah bangkit daripada kekalahan set pertama untuk membenam KL Thunder 2-1 (16-21, 22-20, 21-18). 

Perak Bison, Kelantan Warriors dan PDRM Defenders terikat dengan 16 mata manakala Terengganu Turtles pula mengumpul 14 mata.

Enam pasukan STL Premier dan dua pasukan STL Divisyen Satu akan beraksi dalam Piala Juara-Juara STL yang dijadual berlangsung dari 7 hingga16 Disember ini.  

Keputusan: 
Perak Bison mn Kelantan Warriors 2-0 (21-17, 23-21)
Terengganu Turtles mn KL Thunder 2-1 (16-21, 22-20, 21-18)
PDRM Defenders mn Johor Tigris 2-0 (21-9, 21-13)
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen