Juara bertahan, Penang Black Panthers, merekodkan kemenangan keempat dengan terbaru menundukkan cabaran ATM Guardians dalam Liga Sepak Takraw (STL) hasil aksi cemerlang yang dipamerkan oleh tekong negara, Mohammad Syahir Rosdi.

Beraksi di Stadium Tertutup MPSJ Serdang Jaya, Syahir bertindak sebagai tonggak utama Black Panthers dalam aksi ini menerusi aspek bertahan mahupun menyerang.

Deretan servis ace dalam set pembukaan serta kepantasan killer, Azlan Alias, menjadi tunjang kemenangan buat skuad kendalian Sufian Nafiah itu.

Syahir, yang turun beraksi dengan status tekong terbaik dan pemain paling bernilai musim lalu, ternyata tidak menghampakan, malah pada suatu ketika bertindak sebagai killer ketika tuaian mata memihak Black Panthers.

Biarpun kemenangan Black Panthers tampak mudah, realitinya ATM hampir membawa aksi ke set penentuan apabila killer, Afiffudin Razali, mengasak dengan libasan sepantas 70 kilometer sejam.

Namun, usahanya tidak kekal lama. Selepas bertarung selama 53 minit, kemenangan menjadi milik Black Panthers dengan keputusan 21-17, 22-20.

Keputusan lain:

TERENGANU TURTLES 2 KUALA LUMPUR THUNDERS 0 (21-9, 21-12)

JOHOR TIGRIS 0 KELANTAN WARRIORS 2 (16-21, 11-21)