STL: Black Panthers kembali temui rentak kemenangan

Oleh Penulis Jemputan 20 Oktober 2018 456
STL: Black Panthers kembali temui rentak kemenangan
Penang Black Panthers kembali ke landasan kemenangan setelah mengetepikan tentangan sengit Johor Tigris dalam aksi Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2018 di Gem In Mall, sebentar tadi.

Juara bertahan STL Premier itu yang tewas dalam dua perlawanan terdahulu kepada ATM Guardians dan KL Thunder, terdesak untuk bangkit agar tidak terus tercicir dalam kedudukan liga.

Jurulatih Black Panthers, Helmi Ismail, membuat sedikit rombakan pada barisan pemainnya dengan menghadiahkan apit kiri, Saiful Azri Shahnon, penampilan pertamanya musim ini. 

Saiful, yang bergandingan dengan Said Ezwan Said De dan ‘killer’ kebangsaan, Azlan Alias, memenangi set pertama 21-15, namun Johor Tigris yang dibarisi Muqlis Borhan, Ashraf Azizan dan Azman Hamid, mengikat kedudukan 1-1 setelah menang 21-17 dalam set kedua. 

Penang Black Panthers, bagaimanapun, memastikan tiada kejutan berlaku pada hari kelapan saingan apabila menang 21-16 dalam set penentuan, sekali gus mengesahkan kemenangan kelima mereka.

“Ia perlawanan yang sukar, kami sedikit bergelut kerana Johor bertahan dengan cukup baik dan mematahkan serangan yang kami lakukan.

"Pada pertengahan set kedua, jurulatih telah membawa masuk Syahir (Rosdi) untuk menajamkan servis serta serangan dan selepas itu kami nampak lebih yakin,” kata Saiful Azri.      

Sementara itu, jurulatih Johor Tigris, Muhammad Ibrahim, pula berpendapat mereka perlu menyalahkan diri sendiri atas kekalahan ini. 

“Kami cuba menyaingi pengalaman dan kualiti Black Panthers dengan mengheret perlawanan ke set penentuan tetapi malangnya beberapa kesilapan yang tidak sepatutnya dibuat menyebabkan kami hilang rentak dan hilang fokus. 

“Ketika set pertama, kami banyak kesilapan di pertahanan, empat mata kami buang begitu sahaja, kami berdepan masalah sama dalam setiap perlawanan dan saya berharap ia dapat diperbaiki dalam perlawanan akan datang,” katanya. 

Dalam aksi lain, ATM Guardians kekal tidak terusik di kedudukan teratas liga setelah melakar kemenangan keenam berturut-turut dengan menewaskan PDRM Defenders 2-0 (21-17, 21-14). 

Keputusan: 
Penang Black Panthers mng Johor Tigris 2-1 (21-15, 17-21, 21-16)
ATM Guardians mng PDRM Defenders 2-0 (21-17, 21-14)

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen