STL: Black Panthers dalam kelas tersendiri

Oleh Penulis Jemputan 13 Oktober 2018 2341
STL: Black Panthers dalam kelas tersendiri
Hasrat Kelantan Warriors untuk menjadi pasukan pertama meleburkan rekod tanpa kalah juara bertahan, Penang Black Panthers, dalam saingan Liga Sepak Takraw League (STL) Premier 2018 tidak kesampaian setelah kecundang 0-2  di Gem In Mall, Cyberjaya, hari ini.

Turun dengan keyakinan tinggi, Kelantan Warriors pada satu ketika dilihat mampu untuk melakar kejutan seperti mana dilaungkan sebelum perlawanan apabila mendahului 20-17 dalam set pertama.

Namun, trio Farid Aziz, Aidil Aiman Azwawi dan Yuslie Jusoh gagal memanfaatkan kelebihan itu dan membenarkan Black Panthers bangkit melakar kemenangan 23-21. 

Set kedua kemudiannya menjadi lebih mudah buat Black Panthers yang menurunkan trio Said Ezwan Said De, Zaim Razali dan Aiman Haiqal Naim sebagai regu permulaan untuk melakar kemenangan 21-15. 

“Ketika ketinggalan dalam set pertama, saya tetap yakin dengan pemain saya, kami cari kelemahan pasukan Kelantan sama ada melalui pertahanan mahupun serangan dan memanfaatkannya. Kedua-dua pasukan ada peluang (untuk menang) tetapi ia mengenai siapa yang ambil dulu peluang tersebut. 

“Sebagai contoh, apabila tekong dia buang mata, fokus hilang dan ia berjangkit kepada pemain lain yang memberikan mata mudah. Jadi, apabila kita tahu kelemahan mereka, kita perkasakan pertahanan dan memanfaatkan kelemahan tersebut,” kata jurulatih Black Panthers, Helmi Ismail.

Kemenangan keempat berturut-turut meletakkan Penang Black Panthers yang merupakan juara dua kali unggul menerajui carta STL Premier dengan lapan mata. Mereka seterusnya akan menentang ATM Guardians, Ahad ini.  
   
Sementara itu, jurulatih Kelantan Warriors, Roslan Ismail, pula menyifatkan tindakan lambat dalam membuat keputusan penting antara punca utama kekalahan pasukannya. 

“Kami menurunkan regu terkuat hari ini setelah meneliti prestasi minggu lalu tetapi apabila satu kesilapan dibuat dengan servis sangkut, libasan dihalang, maka ia menjejaskan moral pemain dan menyebabkan mereka membuat kesilapan demi kesilapan. 

"Perejam kami (Yuslie) juga agak penat dan saya lambat mengeluarkan dia, sepatutnya pertukaran dibuat lebih awal. Kami akan belajar daripada kesilapan ini dan bangkit semula dalam perlawanan menentang KL Thunder pada Ahad,” kata Roslan. 

Dalam aksi lain, Johor Tigris bangkit daripada dua kekalahan sebelum ini untuk melakar kemenangan pertama dengan menewaskan Selangor Pistons 2-1.

Johor Tigris tewas set pertama 18-21 tetapi menang mudah set kedua 21-7 dan memuktamadkan kemenangan 21-18 dalam set penentuan.     

Kuala Lumpur Thunder pula mengekalkan permulaan sempurna dengan melakar kemenangan ketiga berturut-turut apabila menewaskan Melaka Titans 2-1 (24-22, 17-21, 21-11) manakala ATM Guardians mencatat kemenangan kedua dengan menewaskan Perak Bison 2-0 (21-13, 21-14). 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen