Pasukan yang penuh kontroversi dalam Liga Sepak Takraw (STL), Penang Black Panthers, akan cuba memancing beberapa pemain baru menjelang pusingan akhir kejohanan itu minggu depan.

Ia selepas beberapa pemain dan pengurus pasukan itu menarik diri susulan pemecatan dua jurulatih, Helmi Ismail dan Fazil Asri.

Ketika ini, bekas pengurus PDRM Defenders, Zakaria Din, dilantik untuk menguruskan pasukan itu setelah Abdul Hafiz Abdul Majid mengambil keputusan drastik untuk angkat kaki.

Selain itu, Persatuan Sepaktakraw Pulau Pinang (PESENANG) turut melantik penolong jurulatih negara, Ahmad Supian Napiah, untuk memegang jawatan pemangku jurulatih Black Panthers bagi mengharungi baki saingan musim ini.

Supian bukanlah asing buat pasukan itu memandangkan dia pernah membawa Black Panthers muncul juara berganda edisi lalu.

"Apapun kemelut yang berlaku, STL terpaksa diteruskan.

"Jadi, saya akan gunakan saki baki pemain yang ada untuk meneruskan perjuangan Black Panthers dalam STL," kata Zakaria.

Biarpun pasukan Pulau Mutiara itu menundukkan Defenders untuk terus memimpin carta liga semalam, pihak pengurusannya masih berusaha untuk mendapatkan beberapa pemain baru untuk memperkuatkan pasukan itu.

"Untuk makluman, saya juga adalah pengurus pasukan Malaysia ke Sukan SEA (Filipina, November depan).

"Jadi, apa yang saya lihat, kemelut ini ada juga kaitan dengan persiapan kami ke Sukan SEA.

"Itulah tumpuan kami, kami mahukan lebih pemain tempatan beraksi.

"Kedua-dua pemain Pulau Pinang yang kurang diberikan perhatian itulah yang akan mewakili pasukan negara," tambahnya.