STL: Black Panthers bergaya dengan kemenangan ketujuh 

Oleh Penulis Jemputan 27 Oktober 2017 2435
 STL: Black Panthers bergaya dengan kemenangan ketujuh 
Penang Black Panthers meneruskan kecemerlangan dengan kemenangan ketujuh untuk kekal menerajui saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2017 selepas menundukkan Johor Tigris dalam aksi dua set di di Stadium MPSJ Serdang Jaya, malam ini. 

Rekod hanya tewas sekali sahaja musim ini terus menjadi perangsang buat Black Panthers untuk mencari kemenangan berdepan Johor Tigris yang dibaris Nazmi Nasar selaku tekong, Lutfi Hadi Azmi dan Noraizat Nordin sebagai apit kiri dan kanan. 

Gandingan Syahir Rosdi, Zaim Razali dan Kamal Ishak mengejutkan lawan dengan aksi kemas sejak awal permainan apabila selesa mendahului 15-5 sebelum mengesahkan kemenangan set pertama, 21-5. 

Johor tidak rela dilabel pasukan belasahan apabila cuba memberikan persembahan sebenar dalam set kedua dengan menghambat kedudukan Black Panthers yang mendahului 4-1, bagaimanapun Black Panthers terus mendominasi permainan untuk menang 21-15. 

Kelantan Warriors turut ceria pada malam ini apabila mudah menjinakkan pencabar terdekat di tangga kelima, Perak Bison, dengan kemenangan straight set. 

Biarpun cuba dicabar, kemenangan berpihak kepada Kelantan untuk meraih kejayaan kelima mereka musim ini dengan keputusan 21-15, 21-18. 

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen