Khabar gembira buat peminat sukan sepak takraw negara selepas Menteri Kanan Pertahanan, Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob, mengumumkan kejohanan tanpa sentuhan fizikal atau aktiviti sukan bersentuhan dibenarkan mulai 15 Julai.

Presiden Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM), Datuk Seri Ahmad Ismail, menyatakan Kejohanan Liga Sepaktakraw (STL) yang berlangsung selama 12 minggu akan membuka tirai 5 September nanti.

Manakala, pemilihan lokasi kejohanan kali ini akan di adakan di Stadium Tasik Titiwangsa selepas lokasi tersebut dikenalpasti tidak mempunyai sebarang masalah.

"Sepaktakraw telah diberikan kebenaran oleh Kementerian Belia dan Sukan (KBS).

"STL akan melibatkan beberapa pasukan dan kami akan melihat dahulu situasi (COVID-19).

"Dalam perancangan awal STL akan berlangsung Ogos ini tetapi sekiranya keadaan masih belum terkawal, kami boleh tunda ke bulan september.

"Tetapi kami memiliki perancangan untuk melakukan saingan dalam tempoh lapan minggu dengan mengikut setiap Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Namun kami akan tetap mengikut setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan," katanya.

Selain itu, Ahmad Ismail terut menyatakan bahawa pasukan Penang Black Panthers akan dibarisi oleh pemain muda selepas beberapa muka lama akan mewakili pasukan lain edisi kali ini.

Sementara itu, Gerakan Sepaktakraw Kelantan (GASTAK) berjaya mendapatkan dua tekong berpengalaman bagi perkuatkan pasukan Kelantan Warriors untuk saingan musim ini.

Salah seorang merupakan pemenang pingat emas Sukan Asia 2018, Muhammad Zulkifli Abd Razak.

Perkembangan itu dikongsikan di laman media sosial GASTAK dimana Zulkifli yang mesra dipanggil "Sobey" dipancing daripada pasukan Terengganu Turtles.

Selain itu, Kelantan Warriors bakal diperkuatkan dengan kehadiran Yus Hanif Rosli yang sebelum ini beraksi bersama Perak Bison.