Setelah menjulang trofi Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2018 dengan penuh dramatik pada hari terakhir saingan, Ahad lalu, Penang Black Panthers kini meletakkan sasaran untuk mempertahankan trofi Piala Juara-Juara STL yang akan bermula Jumaat depan.

Mereka bersedia untuk melengkapkan kejuaraan berganda sepertimana yang dilakukan musim lalu.

Begitupun, apit kiri, Azlan Alias, mengakui ia tidak semudah seperti yang dijangka walaupun persaingan edisi kali ini akan membabitkan keseluruhannya pasukan tempatan, iaitu enam pasukan dari STL Premier dan dua pasukan dari STL Divisyen Satu.

Ia berbeza dengan musim lalu di mana Piala Juara-Juara STL turut membabitkan pasukan dari Thailand dan Indonesia.

“Saingan STL Premier telah membuktikan bahawa jurang di antara setiap pasukan tidak jauh
berbeza.

"Semua pasukan tampak seimbang dan ia adalah bagaimana kami menyerap tekanan dan mengurangkan kesilapan pada hari perlawanan.

“Sudah tentu kami tidak rela melepaskan kejuaraan ke tangan pasukan lain.

"Kami masih perlu menggilap prestasi, terutama ketika menyerang dan mematikan bola.

"Secara keseluruhan, kami bermain lebih baik dalam beberapa perlawanan terakhir berbanding saingan awal.

“Apapun, kami tahu setiap pasukan akan memanfaatkan sebaik mungkin waktu rehat dua minggu untuk
memantapkan persiapan.

"Setiap pasukan mahu menewaskan Black Panthers, jadi ia bukan mudah dan kami tidak boleh hilang fokus,” ujarnya.

Azlan merupakan perejam utama skuad kebangsaan dan tonggak yang membantu memenangi
pingat emas Sukan Asia Indonesia, Ogos lalu.

Dia beraksi dalam hampir kesemua perlawanan dan aksi cemerlang yang dipamerkan membolehkannya dinobatkan Apit Kanan Terbaik STL Premier.

Sebagai rekod, Penang Black Panthers muncul juara edisi sulung Piala Juara-Juara STL selepas menewaskan Perak Bison 2-0 (21-15, 21-15) dalam aksi final, musim lalu.

Untuk edisi kali ini, mereka diundi di dalam Kumpulan A bersama-sama KL Thunder, Kelantan
Warriors dan naib juara Divisyen Dua, Sabah Mountaineers.

Kumpulan B pula dibarisi ATM Guardians, Perak Bison dan Negeri Sembilan Antlers.