STL: ATM Guardians terus unggul tanpa kalah

Oleh Farizal Yusoff 21 Oktober 2018 339
STL: ATM Guardians terus unggul tanpa kalah
Hajat Kelantan Warriors untuk meleburkan rekod tanpa kalah ATM Guardians tidak kesampaian apabila tumpas 2-0 (21-18, 21-10) dalam aksi minggu ketiga Liga Sepak Takraw (STL) di Gem- In Mall, Cyberjaya,  petang tadi.

Kelantan Warriors menurunkan tekong, Hisyam Mat sambil dibantu apit kanan, Nur Yuslie Jusoh dan apit kiri, Aidil Aiman Azwawi, manakala ATM Guardians membariskan Hairul Hazizi Haidzir, perejam berpengalaman, Khairudin Adenan, dan Norfaizzul Abdul Razak.

Kelantan Warriors bermula garang mendahului 10 -3 dalam set pertama sebelum ATM Guardians mula mengejar melalui servis kencang tekong kebangsaan, Hairul Hazizi, dan libasan mantap bekas apit kanan negara, Khairudin.

Melalui satu servis drop cantik, Hairul Hazizi berjaya mencari kaki kiri Aidil, bola gagal dikawal dan memberikan ATM Guardians menyamakan mata 14 -14.

Hairul Hazizi terus mengganas dengan variasi servisnya berjaya mengucar-kacirkan pertahanan Kelantan Warriors  untuk menang 21-18 dalam masa 30 minit.

Dalam set kedua, ketua jurulatih Kelantan Warriors,  Mohd Rozlan Ismail, membawa masuk tekong muda, Farid Aziz, dan mengeluarkan Hisyam ketika ketinggalan 4-6.

Usaha ini gagal apabila ATM Guardians terus hebat menyerang untuk menang 21-10 sambil menghadiahkan kekalahan kelima kepada skuad Pantai Timur itu.

Mohd Rozlan akur dengan kekalahan ini sambil mengakui servis Hairul Hazizi banyak memberi masalah kepada pasukannya.

"Kami tumpas kepada lawan yang lebih berpengalaman dan servis tekong ( Hairul Hazizi) banyak memberi mata kepada ATM Guardians.

"Kami gagal mencari sebarang mata minggu ini dan akan cuba bangkit dengan kemenangan dalam minggu berikutnya," katanya.

Untuk rekod, kekalahan keempat  ini menyebabkan Kelantan Warriors menamatkan minggu ketiga dengan enam mata hasil tiga kemenangan manakala ATM Guardians terus unggul dengan 14 mata.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen