STL: ATM Guardians terus kejar Penang Black Panthers

Oleh Farizal Yusoff 17 November 2018 690
STL: ATM Guardians terus kejar Penang Black Panthers
ATM Guardians membuka semula persaingan merebut takhta liga apabila mudah mengalahkan PDRM Defenders 2-0 (21-15, 21-17) dalam saingan minggu ketujuh Liga Sepak Takraw (STL) di Gem In Mall, Cyberjaya, petang tadi.

ATM Guardians yang dahagakan kemenangan untuk menyamakan pungutan mata dengan juara bertahan, Penang Black Panthers, membariskan Hairul Hazizi Haidzir, perejam, Ab Muhaimi Che Bongsu, dan Norfaizzul Abdul Razak.

PDRM Defenders yang pernah bergelar 'pembunuh gergasi' mempertaruhkan tekong, Syahmi Husin, Hafiz Izudin Wahab, dan kapten, Syafiq Rahman.

Dalam set pertama, ATM  Guardians bermula perlahan sebelum servis tekong kebangsaan, Hairul Hazizi, menjadi untuk mendahului 15-12.

Libasan akhir daripada Muhaimin memberikan kemenangan set pertama 21-15 kepada skuad kendalian Aswadi Abdullah itu dalam masa 27 minit.

Dalam set kedua, ATM Guardians mula menunjukkan belang dan mendahului melalui variasi serangan Hairul Hazizi yang sering memerangkap kapten, Syafiq, untuk kedudukan 12-7.

Aksi libasan menarik apit kiri, Norfaizzul, dan tapakan mengelirukan Muhaimin menamatkan perjuangan PDRM Defenders 21-17 untuk memungut mata penuh.

Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, lega dengan aksi anak buahnya biarpun bermula agak perlahan dalam set pertama. 

"Pemain terlalu fikirkan untuk menang 2-0 dan akibatnya banyak melakukan kesilapan di awal set pertama.

"Alhamdulillah, apabila servis tekong (Hairul Hazizi) mula menjadi, kami tidak menoleh lagi untuk terus memimpin perlawanan dan menang straight set.

"Lupakan kemenangan ini kerana esok kami akan menghadapi satu lagi cabaran sengit daripada Kelantan Warriors," katanya.

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen