STL: ATM Guardians mahu terus himpit juara bertahan

Oleh Farizal Yusoff 24 November 2018 450
STL: ATM Guardians mahu terus himpit juara bertahan
ATM Guardians memerlukan dua kemenangan straight set menentang Selangor Pistons dan Kuala Lumpur Thunder untuk mengesahkan  kejuaraan Liga Sepak Takraw (STL) di Gem In Mall, Cyberjaya, minggu ini.

Sedar juara bertahan, Penang Black Panthers, sudah kembali merampas takhta liga apabila mudah menumpaskan Selangor Pistons 2-0 malam tadi, ATM Guardians perlu lebih fokus supaya tidak tersilap langkah apabila menentang lawan yang sama, petang ini.

Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, dijangka menurunkan trio terbaiknya, Hairul Hazizi Haidzir, perejam, Khairudin Adenan, dan Norfaizzul Abdul Razak untuk mengatasi cabaran Merah Kuning, sekaligus kembali ke puncak STL.

"Satu aksi yang sukar diramalkan kerana kedua-dua regu perlukan kemenangan. Kami mahu menang untuk kejar Penang Black Panthers dan Selangor Pistons sudah pasti mahu selamatkan diri daripada jatuh ke STL Divisyen Satu, musim depan.

"ATM Guardians akan turun dengan semangat  tinggi dan berazam mencari kemenangan untuk terus beri tekanan kepada juara bertahan," katanya.

Ditanya kekuatan yang ada pada skuad kendalian Amir Bakar itu, Aswadi menyifatkan ketenangan yang dimiliki ketua pasukan, Farhan Adam, mampu mengecewakan serangan pasukan lawan.

"Begitu juga kualiti yang ada pada apit kanan Selangor Pistons, Amyrul Shafiq Shamuddin, yang beraksi cukup cemerlang semasa menentang Penang Black Panthers, malam tadi," tambahnya.

Aswadi juga mengesahkan pemainnya tidak menghadapi sebarang masalah kecederaan sambil berharap mereka mampu mengatasi tekanan yang semakin memuncak.

"Alhamdulillah, semua pemain cergas sepenuhnya dan kami harap mereka akan beraksi seperti biasa tanpa pedulikan sebarang tekanan dari luar.

"Doakan kejayaan memihak kepada kami untuk dua perlawanan terakhir ini, sekaligus dapat menjulang kejuaraan STL musim ini."

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen