ATM Guardians mahu melupakan kekalahan 2-1 kepada Johor Tigris malam tadi dengan menjadikan Melaka Titans sebagai mangsa untuk kembali menghangatkan perebutan juara liga dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) di Gem In Mall, Cyberjaya, petang ini.

Namun, pemain ATM Guardians diingatkan supaya beraksi seperti biasa dan tidak memandang rendah keupayaan Melaka Titans biarpun lawan mereka kini berada di dasar liga.

Ketua jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, mahu pemainnya kembali fokus untuk memburu kemenangan, sekali gus membuka semula persaingan dengan Penang Black Panthers.

"Biarpun mereka sekadar memungut dua mata dan berada di dasar liga, Melaka Titans perlu dihormati kerana memiliki pemain muda yang baik dan mampu membuat kejutan.

"ATM Guardians akan turun dengan semangat yang tinggi dan berazam mencari kemenangan untuk kembali mendaki carta liga," katanya.

Ditanya kekuatan yang ada pada Melaka Titans, Azwadi menyifatkan kekuatan servis yang dimiliki tekong kebangsaan, Sahidan Md Ali, menjadi tunjang skuad Hang Tuah.

Begitu juga kebolehan yang ada pada pelibas muda, Muhammad Asyraaf Zawawi, yang banyak memberi masalah kepada pertahanan lawan.

"Melaka Titans yang turun mencari kemenangan kedua pasti memberikan cabaran sengit. Kami perlu berhati-hati dan sentiasa tenang," katanya.

Azwadi mungkin merombak trio terbaik mereka petang ini dan memberi peluang pemain lain memulakan permainan.

"Mungkin kami akan turunkan Muhaimin (Che Bongsu) dahulu dan memberi peluang kepada Khairudin (Adenan) untuk berada di barisan simpanan.

"Apapun, bergantung kepada tahap kecergasan pemain dan strategi yang bakal digunakan," katanya.

Untuk rekod, kekalahan mengejut kepada Johor Tigris menyebabkan status selaku pendahulu liga dipintas juara bertahan, Penang Black Panthers, dengan kelebihan dua mata di puncak manakala Melaka Titans terperosok di dasar liga dengan dua mata.