Terengganu Tutles memberikan cabaran sukar tetapi masih belum cukup untuk menumbangkan ATM Guardians apabila kalah 1-2 (21-19, 20-22, 9-21) dalam saingan minggu kelima Liga Sepak Takraw ( STL) di Gem In Mall, Cyberjaya, petang tadi.

Terengganu Turtles menurunkan tekong Sukan Asia 2018, Zulkifli Razak atau Sobey, apit kanan, Hanafiah Dollah, dan apit kiri, Izuddin Zulkarnain, manakala ATM Guardians membariskan Hairul Hazizi Haidzir, perejam, Ab Muhaimi Che Bongsu dan Norfaizzul Abdul Razak.

Dalam set pertama, Terengganu Turtles bermula garang dan mendahului 9-4 melalui variasi servis Sobey yang cukup mengelirukan.

ATM Guardians tidak mahu mengalah dan mula mengejar apabila servis kencang Hairul Hazizi mula mencari sasaran dan memungut mata 10-13.

Libasan akhir daripada Hanafiah memberikan kemenangan set pertama 21-19 kepada skuad Penyu itu dalam masa 31 minit.

Dalam set kedua, ATM Guardians membawa masuk Khairuddin Adnan dan mengeluarkan Muhaimin dalam usaha memantapkan lagi serangan.

Sobey terus mengganas melalui servis 'drop' bagi memacu Terengganu Turtles meninggalkan ATM Guardians 9-5 sebelum lawan meminta 'time out'.

Tekong ATM Guardians, Hairul Hazizi, enggan mengalah dan menjadikan Izuddin sebagai sasaran untuk menang 22-20, sekali gus mengheret perlawanan ke set ketiga.

Dalam set penentuan, ATM Guardians terus mengganas dan berjaya meninggalkan Terengganu Turtles dari awal untuk menang 21-9.

Kekalahan ketujuh Terengganu Turtles musim ini menyebabkan mereka kekal dengan lapan mata manakala ATM Guardians mendaki ke puncak carta STL dengan 18 mata selepas Penang Black Panthers kalah mengejut 2-0 kepada PDRM Defenders.