Hasrat ATM Guardians untuk dinobatkan juara tidak kesampaian selepas tewas dalam aksi tiga set kepada KL Thunder, sekali gus bermakna Penang Black Panthers mempertahankan kejuaraan Liga Sepak Takraw (STL) musim ini.

Sedar hanya kemenangan di Gem In Mall, Cyberjaya hari ini akan memastikan kejuaraan, Penang Black Panthers menampilkan aksi memberangsangkan ketika berdepan Melaka Titans dalam perlawanan terakhir saingan STL musim ini.

Penang Black Panthers kini berkongsi mata dengan ATM Guardians, namun ATM berkelebihan daripada segi perbezaan set menang.

Bagi Penang Black Panthers yang juga juara bertahan STL, mereka berada dalam kelas tersendiri berbanding Melaka Titans dan ia jelas dilihat dalam set pertama apabila Black Panthers tidak berdepan masalah mencatat kemenangan 21-13.

Dalam set kedua, Melaka memberi sedikit saingan, namun misi untuk menang dengan aksi straight set adalah penting bagi Black Panthers yang tidak memberi ruang, sekali gus menang set kedua 21-15.

Setelah Black Panthers mencatat kemenangan, tumpuan terarah kepada ATM Guardians yang juga merupakan pencabar dalam edisi kali ini.

Namun pertemuan dengan KL Thunder tampak sukar untuk ATM di mana mereka sering ketinggalan dalam set pertama.

Hasrat untuk menang tiga set tidak kesampaian bagi ATM yang tewas set pertama 21-17.

ATM bangkit dalam set kedua dan berjaya mencatat kemenangan, sekali gus memberi harapan kepada mereka merebut kejuaraan menerusi kemenangan 21-14.

Namun, situasi berbeza berlaku dalam set ketiga apabila ATM gagal meneruskan momentum dan tewas dalam aksi sengit 21-18 kepada KL Thunder.

Ini bermakna gelaran juara STL 2018 menjadi milik Penang Black Panthers sekali lagi.