ATM Guardians mengakhiri saingan pusingan pertama lIGA Sepak Takraw (STL) Premier 2018 di kedudukan teratas setelah mencatat kemenangan kelapan dengan menewaskan Selangor Pistons 2-1 di Gem In Mall, Cyberjaya, hari ini.

Selangor Pistons berpotensi menambah derita ATM Guardians yang tewas buat kali pertama musim ini kepada KL Thunder semalam apabila regu gandingan Farhan Adam, Yushairil Amir Yusof dan Shafirul Nizam Zainal menang set pertama 21-16.

Bagaimanapun, jurulatih ATM Guardians, Aswadi Abdullah, membawa masuk tekong kebangsaan, Hairul Hazizi Haidzir, untuk menggantikan Tunku Azwari Ishak dan ternyata percaturan itu berhasil membantu mereka untuk kembali dalam saingan.

Hairul Hazizi berganding cemerlang bersama Norfaizzul Razak dan Muhaimi Che Bongsu untuk memenangi set kedua 21-15 sebelum trio itu langsung tidak memberi ruang kepada Selangor Pistons dalam set ketiga menerusi aksi bertenaga untuk mendahului 19-2 dan menamatkan aksi dengan kemenangan 21-6.

“Seperti yang saya selalu katakan sebelum ini, perkara penting adalah untuk kekal konsisten sehingga ke minggu terakhir dan untuk itu, aspek kecergasan juga perlu dititikberatkan.

"Jadi, saya buat keputusan rehatkan Hairul kerana dia kepenatan selain mahu mengubah gaya serangan tekong," kata Aswadi.

“Selepas kekalahan kepada KL Thunder, saya rasa ada keperluan untuk buat sedikit pertukaran pada regu kerana saya sebenarnya mahu mengubah gaya serangan tekong selain memberi peluang kepada Hairul untuk berehat kerana dia juga kepenatan.

“Tetapi ia tidak menjadi, jadi terpaksa memasukkan juga Hairul pada set kedua. Mungkin Tunku belum dapat sesuaikan diri dan belum dapat menyerap tekanan disebabkan ini adalah kali pertama dia diturunkan."

Kemenangan menyaksikan ATM Guardians menerajui carta STL Premier dengan 16 mata hasil daripada sembilan perlawanan dan mereka dihimpit rapat oleh Penang Black Panthers dan KL Thunder.

Sementara itu, Penang Black Panthers bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan Perak Bison 2-1.

Regu gandingan Said Ezwan Said De, Zaim Razali dan Kamal Ishak tewas set pertama 16-21 tetapi kemasukan dua tonggak pasukan kebangsaan, Syahir Rosdi dan Azlan Alias, membantu Black Panthers menang 21-19 dalam set kedua dan kemudian 21-10 dalam set penentuan.

Johor Tigris pula melakar kemenangan kelima mereka musim ini dengan menewaskan PDRM Defenders, sekali gus menutup aksi pusingan pertama dengan melonjak ke tangga keempat liga.

Gandingan Noor Azman Hamid, Noraizat Nordin dan Muqlis Borhan dikerah bermain tiga set oleh trio PDRM Defenders Izzat Zainal, Nazri Hafiz Najib dan Shaifullah Nor sebelum mengesahkan kemenangan 2-1 (21-11, 20-22, 21-8).



Keputusan (27 Oktober) :
Johor Tigris mng PDRM Defenders (2-1 : 21-11, 22-20, 21-8)
ATM Guardians mng Selangor Pistons (2-1 : 16-21, 21-15, 21-6)
Penang Black Panthers mng Perak Bison (2-1 : 16-21, 21-19, 21-10)


Saksikan STL 2018 setiap Jumaat, Sabtu dan Ahad jam 5.00 petang hingga 9.00 malam serta siaran langsung setiap perlawanan di twitter @astroarena. Sementara analisis STL 2018 setiap Rabu jam 10.30 malam di Astro Arena Saluran 801, 802HD, NJOI Prepaid, Astro GO dan NJOI Now.