Saingan Liga Sepak Takraw (STL) Premier 2018 yang kembali bersambung buat minggu keempat sebentar tadi menyaksikan KL Thunder menghadiahkan ATM Guardians kekalahan pertama musim ini, sekali gus menoktahkan rekod tujuh kemenangan berturut-turut milik pendahulu liga itu.

Tidak seperti minggu sebelumnya, rentak ATM Guardians nampak sedikit goyah dan ia dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh KL Thunder menerusi gandingan Amirul Zazwan Amir, Aizat Azmi dan Norhafizi Razak untuk menewaskan trio Hairul Hazizi Haidzir, Norfaizzul Razak dan Khairuddin Adenan 2-0.

Jurulatih KL Thunder, Azhar Sarabini, memuji peranan dimainkan Aizat yang tampil dengan servis bertenaga untuk membantu regu KL Thunder menang 21-17 dalam set pertama dan kemudian mengetepikan kebangkitan lewat ATM Guardians dalam set kedua 21-19.

“Pemain saya sebenarnya begitu membara mahu memenangi perlawanan ini kerana kami tahu ATM bukan sahaja belum pernah tewas tetapi mereka juga tidak pernah tewas set dengan kemenangan 2-0 dalam semua perlawanan. Keinginan untuk menjadi pasukan pertama menewaskan mereka memberi kami semangat tambahan.

“Saya juga mengarahkan pemain-pemain memberi tekanan awal supaya tekong mereka tercari-cari rentak. Sasaran kami adalah membuatkan fokus mereka terganggu, tidak membenarkan mereka mendapat rentak dan itulah yang kami lakukan.

"Kami tampil cukup baik ketika menyerang dan Aizat (tekong) bermain cemerlang hari ini, banyak mata datang daripada dia,” ujar Azhar.

Kekalahan buat ATM Guardians, bagaimanapun, tidak merubah kedudukan mereka di kedudukan teratas tatkala KL Thunder berjaya melonjak ke tangga kedua liga.

Dalam aksi lain, Johor Tigris mencatat kemenangan keempat, sekali gus menambah derita pasukan tangga tercorot, Melaka Titans, apabila menghadiahkan juara Divisyen Satu musim lalu itu kekalahan keenam berturut-turut.

Apit kanan kebangsaan, Noraizat Nordin, yang kembali ke dalam regu utama setelah pulih daripada kecederaan, bergandingan cemerlang dengan Muqlis Borhan dan Noor Azman Hamid untuk menang 2-0 (21-16, 21-19) ke atas Sahidan Ali, Hasif Yusuf dan Hafizudin Baharudin.

Perak Bison pula bangkit daripada kekalahan set pertama untuk menewaskan PDRM Defenders 2-1.

Regu Heppy Itam, Fadzil Mustapha dan Azwan Muhrim tewas 19-21 dalam set pertama, namun tampil dengan permainan lebih kemas dalam set kedua untuk menang 21-18 sebelum menang set penentuan 21-11.

Satu lagi aksi menyaksikan Kelantan Warriors mengecap kemenangan pertama selepas tewas dua aksi sebelum ini dengan menewaskan Terengganu Turtles 2-1.

Kemenangan itu, bagaimanapun, tidak hadir dengan mudah buat regu bimbingan Roslan Ismail apabila trio Hisyam Mat, Aidil Aiman Azwawi dan Wan Naim Izani tewas set pertama 15-21.

Kemasukan Farid menggantikan Hisyam membantu Kelantan Warriors tampil lebih baik apabila menang 21-10 dalam set kedua dan 21-17 dalam set penentuan.