STL 2020: Peluang Syahir kembali bukti kemampuan

Oleh Ammar Hakim 12 Jun 2020 162
STL 2020: Peluang Syahir kembali bukti kemampuan
Kehadiran 14 pemain import musim lalu menambah kerancakan saingan Liga Sepak Takraw (STL), antara nama-nama yang menjadi kegilaan penyokong adalah Natthawut Naeprom dan Phutawan Sopha.

Namun musim ini menyaksikan tiada pemain import bakal diserap masuk ke dalam pasukan dan kehadiran pemain tempatan bertaraf bintang seperti Syahir Rosdi harus dianggap sebagai antara tarikan utama penganjuran saingan. 

Sebelum ini, dunia takraw dikejutkan dengan pergantungan dua tekong kebangsaan, Syahir dan Zulkifli Abd Razak, atas alasan disiplin dalam selama sembilan bulan.

Ia turut menyaksikan mereka dilarang daripada beraksi dalam sebarang kejohanan atau pertandingan dalam atau luar negara. 

Bagaimanapun, jurulatih KL Thunder, Azhar Sarabini, menjelaskan kemunculan Syahir dialu-alukan bagi persiapan pasukannya bagi saingan STL jika kejohanan itu dijadualkan berlangsung Ogos nanti.

Persoalannya, adakah STL akan jadi medan pertama Syahir untuk kembali membuktikan yang dia masih relevan untuk menyarung jersi negara?

"Dengan kehadiran Syahir dan Azlan Alias, ia boleh meningkatkan lagi kemampuan pasukan," kata Azhar.

Sementara itu, tekong pasukan ATM Guardians, Hairul Hazizi Haidzir, sedia menyahut cabaran jika Syahir terpilih menyertai STL. 

Menurutnya, kehadiran pemain yang terkenal dengan 'servis kuda' itu lebih kepada menyuntik semangat untuk dia mempamerkan prestasi cemerlang.  

"Saya berasakan kehadiran menggugat kedudukan saya kerana kehadiran pemain seperti Syahir dapat meningkatkan lagi semangat untuk memberikan persembahan terbaik kepada pasukan," kata Hairul.

Menjadi kebimbangannya ketika ini adalah perasaan kekok untuk menghadiri latihan setelah empat bulan tidak berkesempatan akibat penularan wabak Covid-19. 

"Sebagai tekong, servis amat penting dan tiada gelanggang untuk saya membuat latihan servis. Buat masa ini sukar untuk melakukan servis yang konsisten ketika ini."

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen