STL 2016: Turtles tidak lut dek taring Panthers

Oleh Shaiful Shamsudin 11 November 2016 31
STL 2016: Turtles tidak lut dek taring Panthers
Terengganu Turtles membayar harga yang mahal untuk memenangi pertemuan buku dengan ruas dengan menewaskan Penang Panthers 21-15, 14-21, 21-19, sekali gus mengekalkan rekod tanpa kalah dalam perlawanan ketujuhnya pada hari ini di Stadium MPSJ Serdang Jaya, Selangor.

Pendahulu carta mata Liga Sepak Takraw (STL) 2016 itu menghimpun 14 mata untuk menamatkan pusingan pertamanya namun kehilangan perejam utama, Fadzli Roslan, dalam set kedua akibat tersilap dalam pendaratan selepas libasannya terkandas.

Terdahulu, apit kanan kelahiran Marang berusia 26 tahun itu yang digantikan oleh Kamal Alfiza Shafie dikenakan kad kuning oleh pengadil kerana cuba melengahkan permainan yang kemudiannya memakan sejam 20 minit.

Turtles turut menukar tekong, Zulkifli Razak dengan Irsyad FaIz Aziz, yang hari ini gagal menemukan rentak servis sehingga memberi mata mudah seperti beberapa perlawanan lalu.

Panthers yang dibarisi Syahir Rosdi, Mohamad Fazil Asri, Azlan Alias dan Suhairi Sulaiman turut mengambil kesempatan susulan pertukaran tekong dan perejam lawan selain kekerapan pembatalan servis yang dilakukan Zulkifli atau Sobey.

"Rezeki berpihak kami. Saya tidak kisah dengan siapa melontar bola servis walaupun lebih lama bergandingan dengan Fadzli. Dia mungkin tidak dapat bermain perlawanan berikutnya kerana kecederaan di bahagian pinggangnya tampak serius," kata Sobey.

Kuala Lumpur Thunder pula meneruskan semula momentum kejayaan dalam perlawanan keenamnya pada STL 2016 apabila menumpaskan ATM Guardians 21-19, 21-16 dalam perlawanan terdahulu.

Ahmad Aizat Mohd. Noor Azmi (tekong), Zamree Dahan (pelibas) dan Amirul Zazwan Amir (pengumpan) memerlukan 46 minit untuk memastikan dua mata liga diraih daripada Nazmi Najib, Afifuddin Razali dan Nazuha Nadzli.

Ini kemenangan ketiga buat anak-anak buah Azhar Sarabini yang secara tidak langsung memintas Johor Tigris di tangga keempat dengan terikat enam mata dengan kelebihan perbezaan, namun pasukan lawan yang dibimbing Aswadi Abdullah kembali ke laluan berliku.

Guardians kini benar-benar terjerat untuk keluar dari zon penyingkiran Divisyen Perdana, apatah lagi bagi mempertahankan gelaran ekoran kekal di tangga keenam dengan empat mata.

Set pertama menyaksikan Thunder mendahului 13-11, tetapi kedua-dua pasukan terikat 16-16 sebelum Nazmi gagal mencuri mata menerusi servis untuk membantu Guardians.

Begitu juga pada set kedua dengan ATM ketinggalan mudah 18-8 dari kedudukan terikat 7-7.
 

Keputusan Divisyen 1 Liga Sepak Takraw (STL) pada hari ini:
Perak kalahkan Perlis 2-0 (21-19, 21-13)
Selangor kalahkan Negeri Sembilan 2-0 (24-22, 21-14)
Putrajaya kalahkan Pahang 2-0 (21-12, 21-7)
PDRM kalahkan Sabah 2-0 (21-17, 21-12)

Keputusan Ekspres Perdana Liga Sepak Takraw (STL):
Kuala Lumpur Thunder kalahkan ATM Guardians 2-0 (21-19, 21-16)
Terengganu Turtles kalahkan Penang Black Panthers 2-1 (21-16, 14-21, 21-19)
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen