STL 2016: Tekong kidal mampu jadi pengacau rentak

Oleh Ammar Hakim 22 November 2016 252
STL 2016: Tekong kidal mampu jadi pengacau rentak

Servis tekong kidal mempunyai kelebihan dan keunikan yang mampu memecahkan rentak permainan lawan sehingga memimpin regunya mendapatkan kemenangan lebih mudah dan lebih cepat.

Sekalipun terpaksa menambah beban tugas apit kiri atau pengumpan yang sepatutnya merencana corak dan strategi permainan kerana perlu melontar bola, sumbangan tekong kidal sering kali membawa hasil yang berbaloi dan menguntungkan.

Kehandalan 'tekong jawi' (gelaran oleh sesetengah penggiat sepak takraw) turut akan membantu 'menjimatkan' kudrat dan keringat perejam di posisi apit kanan yang tidak perlu lagi terbang di depan jaring untuk melibas atau menghadang serangan lawan.

"Tekong kidal mevariasikan servis pencari mata. Yang penting, kemahirannya menghuru-harakan orang sebelah (lawan) dan pengumpan yang menjadi sasaran utama kerana dia ibarat pemain tengah bola sepak.

"Jika pincang nadi gelanggang itu, maka mudahlah tugas regu pemegang servis yang pasti mahukan bola mereka sukar disambut, 'terpancut' jauh, ditangkis atau dimatikan lawan," kata bekas tekong kidal negara, Ahmad Ezzat Mohd. Zaki.

Mengenai siapa tekong kidal yang kini mencipta nama dan kian berbisa dalam Liga Sepak Takraw (STL) 2016 sekarang, khususnya dalam Divisyen Perdana, Ahmad Ezzat yang digelar 'Ijat Botak', menamakan Irsyad Faiz Aziz.

Dengan saiz dan setinggi 1.96 meter, tekong Terengganu Turtles ini juga mempunyai badan fleksibel.

"Turtles juga ada seorang lagi tekong kidal, Izurin Refin, yang sudah pun mencipta nama sebagai tekong kebangsaan," kata bekas pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2001 dan Sukan Asia Busan 2002 kelahiran Pulau Pinang ini.

Lain-lain tekong kidal dalam STL yang kini memasuki minggu ketujuh saingannya di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor ialah Haidzir Rashid (Johor Tigris), Farid Aziz (Kuala Lumpur Thunder) dan Mohd. Hisyam Mat (Kelantan Warriors) serta Nasiruddin Manjur Ahmad dalam Divisyen Satu dengan Putrajaya.

"Jika kerap berlatih bersama, saya rasa tiada masalah bagi seseorang apit kiri mendapatkan lontaran yang menepati cita rasa tekong kidal regunya, sekali gus mempengaruhi keampuhan servisnya," kata Ezzat, 41, pemenang Piala Emas Khir Johari beberapa kali bersama Kuala Lumpur.

Dia merujuk kepada pengumpan pasukan-pasukan STL 2016 seperti Saifulrudin Khalid atau Lutfil Hadi Azmi (Tigris), Amirul Zazwan Amir (Thunder) dan Aidil Aiman Azwawi (Warriors) serta apit kiri juara Sukan SEA 2005, Zulkarnain Arif atau Faizul Hairy Osman (Putrajaya).

Menoleh musuh tradisi, Ezzat yang dikatakan pernah diundang beraksi di Thailand malah diminati bekas tekong Gajah Putih, Kriangkrai Kaewmian, berkata "Mereka kini mempunyai Siriwat Sakha, seorang tekong kidal yang biasanya bermain regu utama atau penentu kemenangan.

"Tekong kidal Thailand biasanya pemain yang serba lengkap. Pertahanan, tangkisan, sambutan dan servis deras serta bervariasi sentiasa menjadi senjata mereka," kata Ezzat yang meminati jagoan Kedah dan Malaysia era 80-an, Azman Ismail dan Kampon Tasit dari sana.    

Tentang Penulis

Ammar Hakim

Komen