STL 2016: Panthers kembali buru Turtles

Oleh Shaiful Shamsudin 18 November 2016 75
STL 2016: Panthers kembali buru Turtles
Penang Panthers menambah dua mata bagi merapatkan jurang dengan pendahulu carta mata Divisyen Perdana Liga Sepak Takraw (STL) 2016, Terengganu Turtles, apabila membenam Kelantan Warriors 21-13, 21-4 dalam perlawanan pusingan kedua di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor, malam ini.

Tekong Penang Panthers, Syahir Rosdi, perejam, Azlan Alias dan pengumpan, Zaim Razali, memastikan kemenangan keenam terhadap Hisyam Mat/Ikhwan Rahman, Nur Yuslie Jusoh (Aiman Fouzi) dan Saufi Salleh selepas 30 minit untuk menghimpun 12 mata, empat mata di belakang Turtles.  

ATM Guardians pula menunjukkan watak sebenar selaku juara bertahan dengan kemenangan keempat mereka sambil melonjak ke tangga keempat Divisyen Perdana selepas membalas dendam ke atas Melaka Titans dengan kemenangan 21-15, 21-13.

Gandingan regu menerusi Nazmi Najib, Afifuddin Razali dan Norfaizzul Razak hanya memerlukan 44 minit untuk mengatasi Sahidan Ali (Khobil Sapair), Amirul Asyraf Idris dan Zarlizan Zakaria 21-15, 21-13, sekali gus menambah derita Titans untuk terus menghuni tangga corot liga dan bakal tersingkir ke Divisyen Satu 2017.

Guardians yang dibimbing Aswadi Abdullah kini terikat lapan mata dengan Kuala Lumpur Thunder, bagaimanapun dibezakan jurang set kemenangan dan set kekalahan dengan lawan di tangga ketiga itu hanya akan turun menghadapi Kedah Eagles, esok.

Bagi Titans, inilah kekalahan ketujuh berturut-turut mereka yang turut memanjangkan lagi kemarau mata liga sejak mengejutkan Guardians 13-21, 21-18, 21-18 dalam pusingan pertama STL, 1 Oktober lalu.

Sementara itu, Perak The Bos Gaurus menepati gelaran ‘pembunuh gergasi’ apabila menumpaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang dibarisi bekas bintang negara 21-7, 21-10, dan secara tidak langsung merampas teraju Divisyen Satu STL 2016 daripada PSM A hari ini.

Tekong mereka, Meor Ahmad Zulfikar Mat Amin, perejam, Fadzil Mustafa dan pengumpan, Hafiz Zulkifli, memerlukan hampir sejam untuk memastikan Perak menguasai permainan dan mereka kini mengumpul enam mata selepas meraih kemenangan ketiga ini.

Perak menewaskan sebuah lagi pasukan bintang, Selangor, minggu lalu manakala aksi di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, petang ini menyaksikan regu PDRM yang diketuai bekas tekong juara Sukan SEA 2005, Normanizam Ahmad, tersungkur kali pertama.

PDRM, yang turun ke gelanggang hari ini selaku pasukan di tangga kedua, tidak mampu mengekang lawan biarpun memasukkan tekong pengganti, Izzat Zainal Abidin, dua perejam, Shaifullah Nor dan Syukri Hasan, selain pengumpan, Azli Jamil.

Sebuah lagi pasukan pilihan, Negeri Sembilan The Jangs, turut memperbaiki kedudukan mereka selepas mencapai kemenangan kedua biarpun terpaksa diheret hingga set penentuan sebelum mampu menjinakkan Pahang 21-12, 14-21, 21-19.

Dua mata liga itu diperoleh Jangs dalam tempoh 63 minit menerusi dua tekong, Izuan Efendi Alias dan Noramizi Nordin, dua apit kanan, Hafizul Hayazi Adnan dan Khairol Zaman Hamir Akhbar, serta apit kiri, Syazreenqamar Salehan.

Pahang tidak kurang hebatnya kerana diperkuatkan bekas tekong Malaysia kelahiran Terengganu, Syazwan Husin, dan perejam dari Selangor, Mohamad Arif Busu, selain pengumpan, Irwan Shah Rizal Amir Hamzah.

Regu Selangor yang berpengalaman antarabangsa (Ahmad Sufi Hashim, Shafirul Nizam Zainal dan Farhan Adam) menewaskan Labuan yang diwakili regu pelapis kebangsaan 21-18, 21-13 selepas 41 minit manakala Perlis mencatat kemenangan sulung, menewaskan Sarawak 21-13, 21-18.

Keputusan STL hari ini:

ATM Guardians mengalahkan Melaka Titans 2-0 (21-15, 21-13)
Penang Black Panthers mengalahkan Kelantan Warriors 2-0 (21-13, 21-4)

Jadual perlawanan STL: 

Sabtu (19 November 2016): Kuala Lumpur Thunder lawan Kedah Eagles (4pm), Terengganu Turtles lawan Johor Tigris (5.30pm).
Ahad (20 November 2016): Johor Tigris lawan ATM Guardians (4pm), Kedah Eagles lawan Penang Black Panthers (5.30pm).

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen