Masih segar dengan kemenangan 2-1 menewaskan Melaka Titans, Kelantan Warriors berjanji akan menurunkan regu terkuat untuk menghadapi asakan hebat Johor Tigris dalam Liga Sepak Takraw (STL) di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, malam ini.

Pengurus pasukan Kelantan Warriors, Mohd Adnan Mat, berharap anak buahnya terus mengekalkan momentum kemenangan tetapi dalam masa yang sama menghormati regu Johor Tigris yang pasti ingin bangkit daripada kekalahan dua minggu lepas.

“Kami hormati Johor Tigris yang dibimbing oleh mantan ketua jurulatih negara, Jamaluddin Hassan, dan pastinya mereka ingin bangkit selepas kalah mengejut kepada Kedah Eagles.

“Prestasi pemain Kelantan semakin meningkat dan saya harap semangat juang yang tinggi dapat ditunjukkan dalam usaha untuk mengalahkan regu Johor,” katanya.

Ditanya mengenai pemain yang bakal diturunkan menentang Johor Tigris malam ini, Adnan berharap gandingan yang beraksi cemerlang menumpaskan Melaka Titans akan dikekalkan oleh jurulatih.

“Prestasi dan persembahan mereka (Khairul Hisham, Wan Naim Izani dan Aidil Aiman) semakin menjadi dan kami harap mampu membawa kemenangan kepada Kelantan Warriors untuk kejar kedudukan liga."

Dalam aksi minggu ketiga sebelum berehat selama dua minggu, Kelantan Warriors berjaya mendapatkan kemenangan ketiga apabila mengalahkan regu Melaka Titans 2-1 (11-21, 21-13, 21-12).

Johor Tigris dirundung malang apabila ditumpaskan Kedah Eagles 2-1 (21-18, 19-21, 19-21).

Kredit imej: FB Mohd Adnan Mat