Malaysia A (SSN Perak) yang diwakili oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat (SMKGR) muncul juara kejohanan ke-5 Sepak Takraw Terbuka Belgium antara regu setelah menewaskan Malaysia B, SMK Seksyen 11 Shah Alam (SSN Selangor), 15-5, 15-7 di De Pinte, kelmarin.

Menurut jurulatih sepaktakraw SMKGR, Suhairi Abd Aziz, kejohanan ini adalah platform untuk memperkenalkan sukan sepak takraw, terutamanya di benua Eropah, apabila ia turut disertai Perancis, Jerman, Switzerland, England dan tuan rumah, Belgium, manakala Asia diwakili Malaysia dan Singapura.

"Pasukan Eropah mengikuti perkembangan sukan sepak takraw dengan penuh minat dan mahu ia berkembang di sini.

"Rata-rata wakil Eropah kagum dengan perkembangan sukan sepak takraw di Malaysia, tambahan pula pemain yang berada dalam kategori bawah 16 tahun kami mampu bersaing, malah menjadi juara dalam kategori terbuka," katanya.

Sementara itu, tempat ketiga diduduki Malaysia C (SSN Perak) dan Singapura.

Program "Road to Belgium" mendapat sokongan Jabatan Pelajaran Negeri dan Persatuan Ibu Bapa Sekolah (PIBG) manakala sumbangan diterima daripada Majlis Sukan Negara (MSN), Yayasan Perak dan syarikat swasta negeri.