SSN Kelantan catat rekod bersih 

Oleh Farizal Yusoff 14 Oktober 2017 641
SSN Kelantan catat rekod bersih 
Tuan rumah, Sekolah Sukan Negeri (SSN) Kelantan, terus cemerlang menewaskan SSN Johor dan SSN Sabah pada hari kedua Kejohanan Sepak Takraw 1 Murid 1 Sukan (1M 1 S) Bawah 16 Tahun (B-16) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2017 di Gelanggang Sepak Takraw, Pusat Sukan MSSK, Kota Bharu, hari ini.

Dalam aksi ketiga menentang Johor, SSN Kelantan yang diwakili  Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Putera tersentak apabila tewas set pertama 21-17 sebelum bangkit memenangi set kedua 21-18 melalui servis kencang tekong, Ikmal Hakimi Azlisham.

Dalam set penentuan, libasan kencang apit kanan, Mohamad Asyraf Dinie, yang dibantu umpanan sempurna Nik Muhammad Afiq Mazlan berjaya memerangkap SSN Johor untuk menang 21-19.

Kelantan berjaya mempertahankan rekod bersih dalam pusingan kedua apabila mengalahkan SSN Sabah 2-1 (21-17,  17-21, 21-18) dalam tempoh 50 minit.

Jurulatih SSN Kelantan, Suhairi Nordin, bersyukur dengan empat kemenangan berturut-turut yang diperoleh skuadnya sambil mengingatkan pemain supaya terus konsisten dalam aksi pusingan akhir di Johor nanti.

"Alhamdulillah, pemain beraksi dengan baik. Biarpun ketinggalan tetapi mereka tidak mudah panik.

"Kejayaan hari ini membuktikan semangat pemain cukup hebat untuk mengekalkan rekod bersih dalam pusingan kedua di tempat sendiri. Kami perlu konsisten dalam pusingan akhir nanti,” katanya.

Untuk rekod, SSN Kelantan akan beraksi dalam pusingan akhir  di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Kota Tinggi, bulan depan.

Keputusan hari kedua:

SSTMI 2 SSMT 0 ( 21-14, 21-17)

SSN SELANGOR 2 SSN JOHOR 1
(21-18, 21-23 dan  21-12)

SSN TGANU 2 SSN PERAK 1
(21-13, 7-21  dan  22-20)

SSN MELAKA 2 SSN PERLIS 1
(21-16, 18-21 dan  21-19)

SSN SELANGOR 2 SSN SABAH 0
(21-11 , 24-22)

SSTMI JOHOR 2 SSN SARAWAK O
(21-13, 21-8)
 

Tentang Penulis

 Farizal Yusoff

Komen