SSN Kelantan bermula garang

Oleh Farizal Yusoff 13 Oktober 2017 833
SSN Kelantan bermula garang
Sekolah Sukan Negeri (SSN) Kelantan bermula garang apabila mencatatkan dua kemenangan berturut-turut ke atas SSN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan SSN Terengganu dalam Kejohanan Sepak Takraw 1 Murid 1 Sukan (1M1S) Bawah 16 Tahun (B-16) Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) 2017 di Gelanggang Sepak Takraw, Pusat Sukan MSSK, Kota Bharu, hari ini.

Dalam aksi pembukaan, Kelantan yang diwakili oleh Sekolah Menengah Kebangsaan Putera berhempas-pulas mengalahkan SSN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur 2-0 ( 23-21, 21-12).

Kelantan terus memberikan aksi terbaik dalam perlawanan kedua apabila menyingkirkan cabaran SSN Terengganu 2-1 (21-19, 12-21, 21-8) dalam tempoh 50 minit.

SSN Kelantan menurunkan Muhammad Ikmal Hakimi Azlisham (tekong), Mohamad Asyraf Dinie Mohd Azahar (apit kanan) dan Nik Muhammad Afiq Mazlan (apit kiri).

Jurulatih SSN Kelantan, Suhairi Nordin, jelas gembira dengan dua kemenangan berturut-turut yang dicatatkan pemainnya.

"Alhamdulillah, biarpun bermula kurang meyakinkan, pemain saya berjaya menguasai perlawanan untuk menang dengan Kuala Lumpur.

"Menentang Terengganu cukup sengit dan kami tewas dalam set kedua sebelum kembali bangkit dalam set ketiga untuk kemenangan kedua berturut-turut, "katanya.

Esok, SSN Kelantan akan menentang SSN Johor dan SSN Sabah sebelum beraksi dalam pusingan akhir yang akan diadakan di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI), Kota Tinggi, bulan depan.

Keputusan lain:

SSN Perlis 2 SSN Sarawak 0
SSN Perak 2 SSN Sabah 0
SSN Pulau Pinang 2 Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT) 0

SSN WP KL 2 SSN Pahang 1
SSN Selangor 2 SSN N9 0

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen