Sekolah Sukan Negeri (SSN) Perak, Sekolah Menengah Kebangsaan Gunung Rapat (SMKGR), dijemput untuk menyertai Kejohanan Kelima Sepak Takraw Terbuka Belgium di De Pinte, 29 dan 30 Oktober ini.
Menurut jurulatih sepak takraw SMKGR, Suhairi Abd Aziz, Persatuan Sepak Takraw
Belgium melihat potensi sukan itu dan mahu promosi dibuat dari peringkat akar umbi.
"Mereka mahu menjalin kerjasama dan mengundang kami (SSN Perak) atas faktor
pembangunan sukan itu.

"Selain itu, Belgium melihat perkembangan sukan sepak takraw ini cerah. Di sana (Eropah), sudah ada kejohanan sepak takraw, termasuk di Jerman, Switzerland dan Perancis.
"Oleh itu, mereka mahukan pendedahan untuk menanam minat dalam sukan ini," jelas Suhairi.
Program "Road to Belgium" mendapat sokongan daripada Jabatan Pelajaran Negeri (JPN) dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah manakala sumbangan untuk menjalankan kerjasama tersebut diterima daripada Majlis Sukan Negara (MSN), Yayasan Perak dan syarikat swasta negeri.