Tekong pasukan sepak takraw kebangsaan, Syahir Rosdi, percaya dengan kemampuan semua pemain negara untuk membentuk kombinasi mantap dalam acara regu berpasukan bagi menghadapi Sukan Asia di Jakarta dan Palembang, dari 18 Ogos hingga 2 September tahun depan.

Ia kerana penganjur temasya sukan terbesar Asia itu tampak menggunakan kelebihan tuan rumah apabila menggugurkan acara tradisi, iaitu regu.

Dengan menyenaraikan acara regu berpasukan, doubles berpasukan dan quadrant, skuad negara nyata tidak lagi boleh bergantung kepada regu utama sahaja dalam misi menjelmakan kilauan emas di pentas itu.

"Seramai 12 orang akan bermain. Jadi, semangat juang pemain-pemain perlu tinggi dan semangat setiakawan semuanya perlu ada.

"Sekarang ini, dengan adanya STL (Liga Sepak Takraw) dan Piala Juara-Juara STL, kita boleh tengok regu-regu yang mantap," katanya.

Untuk rekod, Malaysia tewas kepada Indonesia 2-1 dalam acara regu Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Sebagai persediaan mantap, barisan pemain negara akan menjalani latihan ala tentera untuk meningkatkan kekuatan mental dan fizikal.

"Latihan itu untuk menguatkan semangat pemain, termasuk semangat setiakawan. Bagi Sukan Asia nanti, kita perlu berkorban untuk negara dan patuh apa yang dimahukan jurulatih," tambahnya.