Skuad sepak takraw negara dirombak?

Oleh Penulis Jemputan 27 September 2017 1488
Skuad sepak takraw negara dirombak?
Skuad sepak takraw negara dirombak? Itu kemungkinan yang berlaku apabila satu pemilihan khas pemain diadakan selama tiga hari yang berakhir hari ini.

Skuad negara gagal menyinar dalam Sukan SEA 2017 bulan lalu. Mereka meraih dua emas, namun ia dikatakan pingat 'ihsan' menerusi acara regu yang tidak disertai Thailand, Myanmar dan Indonesia.

Tampak menyedari tiada peningkatan ditunjukkan skuad negara, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mula mengenal pasti muka baru bagi menghadapi kejohanan seterusnya.

"Kami ada sesi pemilihan pemain baru pada 25 hingga 27 (September). Seramai 48 orang dijemput untuk menyertai sesi yang dikendalikan oleh jurulatih dan juga pemantau daripada bekas pemain dan bekas jurulatih.

"Ia diadakan mungkin berdasarkan persembahan yang tidak baik dalam Sukan SEA. Sudah tentu kami mahukan (pemain) yang terbaik," kata Penolong Setiausaha PSM, Yusoff Ali.

Dalam temasya KL2017, skuad negara tewas dalam semua empat acara dipertandingkan, iaitu regu berpasukan, beregu berpasukan, quadrant dan beregu lelaki yang disertai Thailand, Myanmar dan Indonesia.

Ada juga pihak mencadangkan barisan kejurulatihan turut perlu dirombak sepenuhnya.

Bagaimanapun, PSM yakin aksi hambar skuad negara itu tidak akan menjejaskan kerancakan Liga Sepaktakraw (STL) yang bermula Jumaat ini.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen