Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengambil pendekatan tunggu dan lihat mengenai kemungkinan skuad sepak takraw negara digantung oleh Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (ISTAF).

Malaysia berdepan penggantungan oleh ISTAF susulan tindakan memulaukan perlawanan akhir regu kedua dalam Kejohanan Piala Raja Thailand 2016 baru-baru ini.

Andai hukuman itu dilaksanakan, wujud persoalan mengenai masa depan skuad negara yang berada dalam Program Podium selain persiapan untuk menghadapi Sukan Sea 2017 Kuala Lumpur bakal mengharungi ranjau.

Namun, Khairy mahu menanti terlebih dahulu apa tindakan selanjutnya oleh ISTAF sebelum memutuskan langkah yang bersesuaian.

"Saya difahamkan ISTAF sedang melihat isu ini dan saya serah kepada ISTAF untuk membuat atau mengambil sebarang tindakan.

"Saya harap (ia) tidak akan menjejaskan persiapan kita dan kedudukan pemain-pemain. Kita tunggu tindakan atau pertimbangan daripada ISTAF kerana itu adalah badan yang bertanggungjawab," katanya.

Dalam perkembangan berasingan, Khairy turut memberikan lampu hijau kepada Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) untuk menganjurkan Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) 2018.

Ia susulan badan itu sudah mendapat kelulusan daripada Pesuruhjaya Sukan bagi menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan.

"Apabila saya menerima permohonan daripada PKBM, maka saya akan membuat keputusan berkenaan dengan penganjuran itu.

"Bagi saya biasanya tiada masalah sebab ACC ini bertaraf benua Asia dan pihak kami tidak mempunyai masalah untuk menganjurkan kejohanan itu," katanya.

Khairy berkata demikian selepas memberi ucapan kepada Majlis Perundingan Belia Negara di Kuala Lumpur, hari ini.

Pada majlis tersebut, beliau turut melancarkan program Satu Belia Satu Pengadil.

Program hasil kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) serta Majlis Belia Malaysia (MBM) itu menawarkan kursus asas pengadil untuk sukan bola sepak, sepak takraw serta bola jaring kepada belia.