Biarpun gagal mengungguli Kejohanan Sepak Takraw Cabaran Sekolah Sukan Negeri (SSN) Zon Timur Siri 3, jurulatih SMK Putera, Suhairi Nordin, yakin pemainnya mampu mencipta kejutan untuk menjuarai Sirkit Akhir Kebangsaan di Negeri Sembilan, bulan depan.

Katanya, sirkit ketiga itu menjadi aksi pemanas badan kepada pemain B-14 untuk menunjukkan peningkatan prestasi sepanjang menjalani latihan di sekolah sukan.

"Untuk regu bawah 14 tahun, kami bermula cemerlang dengan menewaskan SSN Terengganu 2-0 sebelum tewas kepada SSN Pahang dengan keputusan yang sama (2-0).

"Begitu juga dengan regu bawah 13 tahun, kami menang 2-1 ke atas Terengganu sebelum akur kepada Pahang 0-2.

"Dalam kategori beregu bawah 14 tahun, kami di tempat kedua di belakang Pahang," ujarnya.

Suhairi juga mengakui kelemahan kawalan gelanggang menjadi punca pemainnya gagal mempamerkan aksi terbaik, namun berjanji akan membaiki kekurangan itu secepat mungkin.

"Masih ada masa untuk baiki segala kelemahan yang ada sebelum kami turun beraksi di Negeri Sembilan untuk memburu kejuaraan selepas muncul naib juara musim lalu," katanya.

Sementara itu, Ketua Unit Sukan, Jabatan Pendidikan Kelantan (JPN) Kelantan, Muhammad Nuzulhan Muhammad Zain, memuji kesungguhan semua atlet yang menyertai tiga jenis sukan yang dipertandingkan, iaitu olahraga, bola jaring dan sepak takraw.

"Anda semua adalah bintang masa depan negara. Teruskan kehebatan anda dalam sirkit terakhir yang akan diadakan di SMK Za'ba, Negeri Sembilan, bulan depan," katanya semasa merasmikan majlis penutup di SMK Putera, Kota Bharu, hari ini.