Servis 74km/j Meor cetus gerun lawan

Oleh Staff Writer 24 November 2016 30
Servis 74km/j Meor cetus gerun lawan
74 kilometer sejam. Pasti sukar berhadapan dengan servis berkelajuan seperti ini.

Terbukti Meor Mohd Zulfikar Mat Amin melakukannya untuk meraih tujuh servis 'ace' ketika pasukannya, Perak, menewaskan Polis Diraja Malaysia (PDRM), 21-7, 21-10, di peringkat kumpulan Liga Sepak Takraw (STL), Divisyen 1 di Stadium MPSJ, minggu lalu.

Menurut rakan regu yang juga pemain apit kiri Perak, Mohd Hafiz Zulkifli, servis Meor ibarat tonik rakan sepasukan.

"Bila Meor melakukan servis, ada dua perkara terjadi. 'Ace' atau dibalas tidak sempurna oleh pihak lawan. Selebihnya tugas kami lebih mudah untuk mematikan bola," kata Hafiz.

Jurulatih Perak, Ismi Hissan Ismail, pula membayangkan prospek Meor dalam sukan ini cerah, namun perlu diterapkan lagi displin diri sebagai seorang atlet sukan.

"Meor perlu fokus dalam latihan dan juga menitikberatkan aspek pemakanan dan rehat yang mencukupi.

"Beliau cukup berbakat, masih muda dan mempunyai potensi cerah sebagai pemain tersohor dalam sukan sepak takraw", ujarnya lagi.

Perak kini menerajui STL Divisyen 1 dengan lapan mata hasil daripada empat kemenangan dan akan bertemu PSM B esok dan PSM A pada Ahad ini..

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen