Bekas pemain kebangsaan, Mohd Hafizie Manap, menggesa Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) membuat rombakan besar-besaran termasuk panel kejurulatihan atas kegagalan mempertahankan pingat emas acara regu dalam Sukan SEA Filipina yang tamat kelmarin.

Jurang Malaysia tampak terus melebar dengan gergasi, Thailand, apabila kecundang dalam kedua-dua pertemuan bagi aksi membabitkan saingan antara regu dan regu berpasukan.

Dua perak, termasuk satu gangsa bagi acara wanita, bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan memandangkan Malaysia berhempas-pulas untuk menundukkan lawan lain dari Asia Tenggara.

Ia merujuk kepada pemilihan pemain yang tidak bersandarkan prestasi semasa dalam saingan liga tempatan, sebaliknya muka lama terus menjadi pertaruhan.

"Kalau nak buat rombakan besar-besaran, seeloknya lakukan sekali dengan barisan kejurulatihan sebab saya nampak permainan Malaysia jauh berbeza dengan Thailand.

"Mungkin Malaysia tiada bahagian teknikal dan taktikal dalam modul latihan. Mungkin idea tidak banyak daripada jurulatih ketika ini, jadi bagi saya elok lakukan rombakan sekali dengan jurulatih," katanya.

PSM juga disaran untuk menggunakan tempoh setahun enam bulan bagi membuat persiapan awal merampas emas dalam Sukan SEA Vietnam 2021 nanti.

"Sebenarnya Malaysia terlalu hormatkan Thailand dan mungkin terlalu pandang rendah kepada pasukan lain seperti Indonesia atau Filipina.

"Jika dilihat daripada segi persiapan Filipina dan Myanmar, jika mereka berlatih lebih serius, sudah pasti Malaysia akan menjadi mangsa kepada mereka," kata Hafizie lagi.