Jurulatih skuad sepak takraw negara, Abdul Talib Ahmad, menganggap pengekalan skuad kebangsaan dalam Program Podium penting dalam membentuk pasukan mantap untuk persediaan ke Sukan Asia Indonesia tahun depan.

Wujud pertikaian apabila sukan sepak takraw masih dikekalkan dalam program itu meskipun beraksi hambar dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu.

Sehubungan itu, Talib tampil mempertahankan barisan anak buahnya yang tetap mampu mencapai sasaran dalam temasya itu dengan membawa pulang satu emas dalam acara regu.

Malah, dia juga mahu menutup kritikan terhadap skuad kebangsaan dalam Sukan Asia Indonesia nanti.

Jelasnya, skuad negara mempamerkan peningkatan apabila hanya tewas tipis 19-21, 21-23 kepada Thailand dalam perlawanan akhir Piala Dunia ISTAF di Hyderabad, India 5 November lalu.

"Apa yang saya nampak, sukan sepak takraw memang perlu berada dalam Program Podium kerana baru-baru ini pun kami beraksi dalam Piala Dunia di India.

"Prestasi pemain-pemain juga meningkat sejak Sukan SEA 2017," katanya.

Selain menekankan aspek sains sukan sebagai persediaan, Talib juga mendedahkan skuadnya akan dihantar menjalani latihan ala ketenteraan selama tiga bulan di Banting bermula Januari 2018 bagi
menguatkan ketahanan mental pemain.

"Dalam Piala Dunia baru-baru ini, kami lebihkan kepada aspek mental buat pemain-pemain.

"Sebab itu, dalam program selepas ini, kami akan menerapkan jati diri dalam diri mereka sejak peringkat awal," katanya.