Selepas tewas dalam aksi pembukaan di tangan Johor Tigris, Selangor Pistons akhirnya berjaya mengutip kemenangan pertama dalam saingan Liga Sepak Takraw (STL) 2017 apabila mengatasi Terengganu Turtles 2-0 dalam aksi di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, petang tadi.

Skuad Terengganu, yang memulakan aksi langkah kanan dalam perlawanan pertama musim ini setelah menewaskan ATM, turun dengan mempertaruhkan pemain bintang, Hanafiah Dollah, sementara Selangor menampilkan pemain kebangsaan, Norshahrudin Ghani, untuk mengutip mata pertama.

Saingan sengit ditampilkan oleh kedua-dua pasukan sebelum Selangor mendahului 10-9.

Bagaimanapun, Terengganu yang dikendalikan Rosmadi Ghani cuba untuk bangkit menyaingi lawan, namun Selangor terus gah mengutip mata demi mata sebelum mengesahkan kemenangan dalam set pertama 21-17.

Set kedua terus menyaksikan kedua-dua pasukan saling mencatat mata dan keadaan menjadi lebih menarik selepas Selangor membawa masuk Azman Hamid bagi menggantikan Sufi Hashim di posisi tekong sementara Hanafiah Dollah digantikan oleh Fazli Roslan.

Walaupun kedudukan terikat 20-20, kemenangan akhirnya berpihak kepada Selangor apabila bijak menggunakan setiap peluang yang ada untuk menamatkan aksi dengan kedudukan 22-20, sekaligus berjaya meraih tiga pertama pada musim ini.