Bermula esok, Persatuan Sepaktakraw Sarawak (PSS) akan menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw ‘Road To Sukma’ Bawah 20 (B-20) tahun bagi mencari bakat baru yang akan mewakili negeri itu dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak tahun depan.

Presidennya, Tan Sri Abang Khalid Marzuki, berkata kejohanan secara regu tertutup dan regu jemputan itu akan dilangsungkan di Dewan PSS, Jalan Stadium, Kuching.

"Sebelum ini, kami sudah mengenal pasti beberapa pemain berpotensi untuk diserapkan ke dalam skuad Sukma Sarawak tahun depan.

"Namun, ia tidak cukup dan bukan muktamad. Kami masih berusaha menggali bakat terbaik yang lain.

"Semakin ramai semakin bagus kerana semakin banyak pilihan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Abang Khalid menjelaskan kejohanan ini akan disertai oleh semua ahli gabungan PSS, termasuk dua bahagian baru yang belum didaftar secara rasmi.

"Kami juga menjemput beberapa kelab sepak takraw yang mempunyai pemain B-20 untuk turut bersaing.

"Matlamat utama kami adalah untuk mencari seramai mungkin pemain berpotensi yang boleh diketengahkan,” katanya lagi.

Jelasnya, antara kualiti yang dicari ialah pemain yang menunjukkan semangat melawan yang kental, mahir dan yang paling penting, berdisiplin.

"Proses ini akan dinilai oleh panel pemilih yang dilantik khas," tambahnya.

Sebanyak 25 pasukan telah mengesahkan penyertaan dalam pertandingan yang menawarkan habuan tunai keseluruhan RM1,500 ini.