Rekod tanpa kalah pendahulu carta mata, Terengganu Turtles dalam Divisyen Perdana Liga Sepak Takraw (STL) 2016 bertemu noktahnya apabila dileburkan Penang Panthers 21-17, 14-21, 16-21 di Stadium MPSJ, Serdang Jaya, Selangor hari ini.

Hampir 2,000 hadirIn menjadi saksi kecundangnya skuad Vitthaya Boontha dalam perlawanan ke-12 mereka yang berlanjutan sehingga 86 minit dan sedramatik pertemuan pertama kedua-duanya, 11 November lalu malah layak digelar "El Clasico" sepak takraw.

Panthers pada mulanya menurunkan tekong Syahir Rosdi, perejam Kamal Ishak dan pengumpan Zaim Razali yang berbeza dengan gandingan yang tewas kepada Turtles lalu, sebelum memasukkan apit kanan utamanya, Azlan Alias pada pertengahan set pertama.

Turtles yang tersekat deretan 11 kemenangan berturut-turut mereka kali ini, mempertaruhkan Zulkifli Razak, Kamal Alfiza Shafie dan Azwan Muhrim tetapi turut terpaksa menukar pelibas dengan Fadzli Roslan yang baru pulih daripada insiden kecederaan pertemuan sulung lalu.

Skuad Helmi Ismail kini mengumpul 18 mata tetapi masih jauh untuk menggugat Turtles (22 mata) dari status teraju divisyen namun memadai untuk merapati tiga lagi slot separuh akhir dengan baki tiga perlawanan menanti termasuk Melaka Titans, Ahad ini.

"Kami menukar Kamal dengan Fadzli kerana kecederaan urat yang membuatkannya sukar melompat. Sepak takraw sukan yang berseni dan apabila Fadzli yang lama direhatkan, masuk menggantinya, memerlukan masa untuk mendapat rentak," kata pengurus Turtles, Shafei Sulong.

Kata pengurus Panthers, Jeffary Malek, "syukur kami dapat pecahkam tradisi kemenangan Turtles hari ini yang meyakinkan kami untuk terus menang baki liga dan berharap dua lawan akhir Turtles juga dapat menyekat mereka. Percaturan kami meletakkan Zaim sebagai apit kiri (sebelum ini Suhairi Sulaiman) berbaloi."

Juara bertahan, ATM Guardians (Nazmi Najib/Hasman Che Hamid, Afifuddin Razali dan Norfaizzul Razak) pula memerlukan 62 minit untuk menghampakan Kuala Lumpur Thunder (Ahmad Aizat Noor Azmi, Zamree Dahan dan Amirul Zazwan Amir) 21-16, 16- 21, 21-12 dalam perlawanan selepas itu.