Persatuan Sepak Takraw Negeri Terengganu (PSNT) meletakkan sasaran penyertaan 32 regu dalam Kejohanan Piala Presiden Terbuka PSNT di Stadium Negeri, 4 Januari ini.

Menurut Presiden PSNT, Mohd Shapian Ali, turut diadakan serentak dengan kategori terbuka itu ialah Regu Bakat Baharu PSNT bagi mencari pelapis dalam kalangan anak Terengganu.

Mohd Shapian berkata pihaknya turut menyasarkan 40 lagi penyertaan bagi kategori itu dengan hadiah kemenangan RM1,000 bakal menanti pasukan juara.

“Mana-mana pemain dari dalam dan luar Terengganu boleh menyertai kategori terbuka dan kami menawarkan RM5,000 berserta piala kepada pemenang.

“Menerusi kategori bakat baharu pula, PSNT dapat mencari pelapis berpotensi untuk diketengahkan dalam pasukan negeri,” ujarnya.

Maklumat lanjut boleh didapati melalui Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan PSNT, Rosmadi Mohamad, di talian 013-933 6529.