PSM harus sedar diri -- Suhaimi 

Oleh Penulis Jemputan 17 Disember 2017 1150
PSM harus sedar diri -- Suhaimi 
Bekas pemain sepak takraw kebangsaan, Suhaimi Yusof, tidak menyalahkan Majlis Sukan Negara (MSN) atau Kementerian Belia dan Sukan (KBS) berhubung tindakan menggugurkan sepak takraw daripada sukan teras.

Malah, dia berasakan Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) harus menjadikannya sebagai satu iktibar. 

Bekas apit kiri negara dalam Sukan Asia 2002 di Busan itu berpendapat selepas kegagalan meraih emas acara regu berpasukan lelaki dalam temasya KL2017, Ogos lalu, tindakan yang diambil MSN dan KBS itu tidak mengejutkan. 

Bagi Suhaimi, kepimpinan PSM harus segera merangka pelan selepas pengguguran sepak takraw daripada sukan teras bakal menyaksikan acara itu tidak dipertandingkan dalam Sukan Malaysia (Sukma) Perak 2018. 

"Sebelum ini, orang tidak berani usik sukan sepak takraw kerana ia adalah sukan warisan tetapi apabila persatuan tidak memainkan peranan, sibuk dengan pasukan kebangsaan, akhirnya pasukan untuk Sukma dan akar umbi jadi mangsa. 

"Mereka sepatutnya memikirkan perkara ini sudah lama. Media pun sudah melaporkan macam-macam. Kalau mereka masih tidak nampak perkara ini, berundur lebih elok," katanya. 

Suhaimi, yang juga merupakan jurulatih sepak takraw wanita Selangor, mengakui berasa risau dengan pembangunan pemain wanita memandangkan sukan itu tidak dipertandingkan dalam Sukma 2018. 

Dalam masa sama, kaptem skuad sepak takraw wanita Selangor, Nurakhirah Syafa Aminuddin, berharap PSM selaku badan induk sepak takraw dapat melakukan sesuatu buat pemain wanita dengan ketiadaan acara itu dalam temasya dwitahunan itu. 

Skuad Selangor sudah menjalani latihan sejak April lalu dan Nurakhirah mengakui terkilan apabila sukan itu digugurkan daripada sukan teras. 

"Dengan ketiadaan tempat dalam Sukan SEA, kami tidak tahu hala tuju. Lagipun, kejohanan untuk wanita pun agak kurang diadakan. 

"Kami harap PSM akan berbuat sesuatu," kata Nurakhirah. 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen