Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) mengambil jalan selamat dengan tidak mengumumkan sasaran sebenar skuad negara yang bakal mengibarkan cabaran dalam Kejohanan Piala Raja Thai minggu depan.

Timbalan Presiden PSM, Akramuddin Abdul Aziz, memberikan gambaran Malaysia mampu mencipta kejutan di Bangkok berdasarkan persiapan mereka.

Walaupun memberikan gambaran bahawa skuad kali ini adalah lebih baik daripada tahun lalu, namun PSM tidak berani meletakkan sasaran tepat.

“Kami akan melihat dalam aksi Piala Raja Thai nanti, saya tidak berani memberikan harapan yang tinggi kepada penyokong Malaysia, tetapi kami yakin dengan hadirnya pemain-pemain pengalaman, kami mampu mencipta keputusan,” jelas Akramuddin.

Kekuatan Malaysia kali ini terletak pada pemain tekong negara, Mohd Shahir Rosdi.

Dilabel sebagai tekong terbaik dimiliki Malaysia, pembantu jurulatih, Najib Iman, melihat Malaysia mampu menggugat dominasi Thailand dengan kehadiran Shahir.

“Shahir adalah tonggak pasukan negara. Jika kami berjaya mencuri satu mata dalam acara berpasukan, perlawanan akan menjadi lebih terbuka dan kita akan dapat melihat apa yang bakal berlaku di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 nanti,” kata Najib.

Untuk edisi kali ini, Malaysia akan mengambil bahagian dalam lima acara, termasuk satu acara baru yang dipertandingkan, quadrant atau empat sepasukan.