Tiada lagi peranan ketua jurulatih, Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) sebaliknya memperkenalkan jawatan pengarah teknikal.

Badan induk itu mencipta kejutan apabila merombak struktur kejurulatihan negara.

Jurulatih, Abdul Talib Ahmad, kini dinaikkan pangkat bagi meningkatkan prestasi keseluruhan skuad negara seperti yang dikongsikan Presiden PSM, Datuk Seri Ahmad Ismail, kepada wartawan Nadi Arena, Adam Zamri, hari ini.

"Saya perlukan jurulatih yang lebih (tambahan) supaya tugasan Abdul Talib dapat diperluaskan lagi.

"Saya berterima kasih kepada Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN), Datuk Ahmad Shapawi Ismail, kerana segera meluluskan permohonan untuk menaikkan pangkat Abdul Talib sebagai ketua teknikal PSM, tugasnya adalah jaga semua (bahagian)," katanya.





Ini merupakan kali pertama organisasi itu mewujudkan jawatan berkenaan.

Abdul Talib, yang dilantik mengemudi skuad utama lelaki negara sejak 2015 mempunyai rekod baik -- antaranya emas Sukan SEA 2017 dan Sukan Asia 2018, kini mempunyai cabaran lebih besar apabila perlu memantau dan menaikkan prestasi keseluruhan skuad negara yang merangkumi skuad elit dan skuad "B" lelaki dan wanita.

"Sebelum ini Abdul Talib menggalas tugas sebagai ketua jurulatih, tetapi keputusan ini dicapai secara bersama di antara PSM dan MSN.

"Sebelum ini, skuad A mempunyai tiga orang jurulatih jadi agak sukar buatnya untuk melaksanakan tugas dengan baik bersama skuad yang lain," katanya lagi.

Berikutan tiada lagi jawatan ketua jurulatih, PSM sebaliknya memperkenalkan jawatan 'jurulatih teraju' di samping penolong jurulatih, Rashidi Nordin, yang akan mengisi slot itu untuk memimpin skuad elit lelaki.

"Kami tidak lagi pakai gelaran jawatan ketua jurulatih, sebaliknya 'jurulatih teraju' untuk setiap skuad."