Prestasi Kelantan Warriors dikira memuaskan  

Oleh Farizal Yusoff   4 Disember 2017 82
Prestasi Kelantan Warriors dikira memuaskan  
Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (Gastak), Datuk Mohd Radzuan Abdullah, berpuas hati dengan prestasi yang ditunjukkan regu Kelantan Warriors apabila berjaya menduduki tempat keempat dalam Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) yang berakhir petang semalam.
 

Katanya, kejayaan menduduki tangga keempat carta Liga STL musim ini juga patut dibanggakan kerana Kelantan Warriors diwakili pemain muda yang berbakat besar dan mempunyai semangat juang tinggi.
 
 “Secara peribadi, saya berpuas hati dengan pencapaian yang ditunjukkan Kelantan Warriors musim ini. Menduduki tempat keempat dalam liga dan Piala Juara STL cukup membanggakan. Tahun lepas, kita sekadar di tangga keenam dan gagal ke separuh akhir.
 
“Biarpun tahun ini kami menghadapi sedikit masalah pada peringkat awal liga STL, kehadiran tekong utama, Mohd Hisyam Mat, berjaya memulihkan keadaan untuk mencatatkan kemenangan demi kemenangan.
 
“Prestasi Aidil (Aiman Zawawi) dan Naim Izani (Mohd Noor) cukup meyakinkan dan saya yakin gandingan ini mampu menjadi pencabar utama musim depan,” katanya.
 
Ditanya mengenai perancangan meningkatkan prestasi regu Kelantan Warriors, Mohd Radzuan yang juga Setiausaha Agung PSM, menjelaskan latihan yang konsisten di samping mengadakan beberapa perlawanan persahabatan peringkat antarabangsa mampu melonjakkan lagi kualiti permainan mereka.
 
“Insya-Allah, skuad Kelantan ini akan dikekalkan dan menjalani latihan intensif secara konsisten di bawah kendalian jurulatih berpengalaman.
 
“Kami juga akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan kelab utama dari Selatan Thailand dan Palembang, Indonesia bagi meningkatkan lagi prestasi regu Kelantan Warriors,” katanya.
 
Dalam perkembangan yang sama, Mohd Radzuan memaklumkan Kejohanan Piala Presiden Gastak bakal diadakan hujung bulan ini bertujuan memilih pemain muda berbakat ke Sukan Malaysia (Sukma) Perak, tahun depan.
 
“Kita mahu mencari pemain yang terbaik untuk membentuk pasukan sepak takraw terkuat bagi memburu pingat emas dalam Sukma nanti,” katanya.
 
 
 

Tentang Penulis

Farizal Yusoff  

Komen