Piala Raja Thai: Talib tidak kesal pulaukan final, pulangkan hadiah naib juara

Oleh Staff Writer 25 Oktober 2016 126
Piala Raja Thai: Talib tidak kesal pulaukan final, pulangkan hadiah naib juara
Jurulatih pasukan kebangsaan, Abdul Talib Ahmad, tidak kesal dengan keputusan memulaukan perlawanan akhir Kejohanan Dunia Sepak Takraw Piala Raja Thailand 2016 di pusat beli-belah Fashion Island, Bangkok, kelmarin.

Skuad negara turun dengan penuh keyakinan selepas mara ke final acara berpasukan kejohanan itu buat kali pertama sejak 2009.

Begitupun, tindakan pengadil perlawanan dari Vietnam yang membuat beberapa keputusan berat sebelah mencetuskan persoalan, dengan menyaksikan regu pertama negara yang diwakili Syahir Rosdi, Azlan Alias serta Syazreenqamar Salehan tumpas 20-22, 9-21 kepada pasukan tuan rumah, Sittipong Khamchan, Anuwat dan Assadin Wongyota.

Tidak berpuas hati dengan tindakan itu, regu kedua yang membariskan Izurin Refin, Muhammad Afifuddin Razali serta Safaruddin Abu Bakar mengambil keputusan memulaukan perlawanan menentang regu utama Thailand, Siriwat Sakha, Pornchai Kaokaew dan Pattarapong Yupadee.

Selain itu, skuad negara juga memulangkan pingat dan piala selaku naib juara sebagai tanda bantahan tambahan terhadap keputusan berkenaan.

"Semasa pertandingan tersebut, dan ketika situasi itu, pihak pengadil sepatutnya tidak boleh melakukan pekara sebegitu (berat sebelah).

"Saya telah berbincang dengan pengurus dan pihak pengurusan. Itu (tarik diri) merupakan tindakan kami kerana sebelum ini pernah berlaku perkara yang sama dan sayang sekali kerana perkara berlaku ketika di peringkat penghujung. Kami terpaksa berhadapan dengan perkara itu," jelas Abdul Talib.

Dalam pada itu, pemain apit kiri negara, Safaruddin, mengakui kecewa apabila tidak dapat mempertaruhkan kemampuan menentang regu utama Thailand selepas aksi regu kedua tidak dilangsungkan.

Dia yang mewakili negara buat kali pertama dalam kejohanan berkenaan berpeluang berentap dengan killer handalan Thailand, Pornchai, bagaimanapun, ia tidak menjadi kenyataan.

"Saya berasa saya tidak mempunyai peluang untuk mencari pengalaman walaupun saya yakin saya boleh bermain dalam regu kedua. 

"Oleh kerana pengadil lebih banyak menyebelahi Thailand, kami tidak bersetuju dengan tindakan tersebut.

"Regu pertama sedang memberikan saingan tetapi mereka dapat mencuri mata di saat-saat akhir. Jadi, kami berasa tidak senang dengan semua itu kerana kami berusaha dari bawah tetapi mereka bermain dengan cara yang kotor," kata Safaruddin.

Dalam laporan Utusan Malaysia semalam, pengurus pasukan, Mohd. Zambri Abdul Rahman, berkata pemain dan jurulatih hanya menyertai majlis penyampaian hadiah sebagai menghormati penganjur kejohanan, Persatuan Sepak Takraw Thailand (TAT), tetapi tidak dapat menerima keputusan pengadil dalam perlawanan final.

Kem negara membantah keputusan pengadil ketika membatalkan hadangan Syahir terhadap rejaman pemain Thailand, Anuwat Chaichana, kerana didakwa terkena tangan tetapi penganjur tidak menerimanya (terikat 19-19).

Begitu juga satu lagi keputusan apabila rejaman Azlan yang dikatakan keluar sedangkan pengadil garisan dari Sri Lanka menunjukkan bola masuk (Malaysia ketinggalan 20-21 set pertama).

Kejohanan edisi ke-31 itu berlangsung 17 hingga 23 Oktober lalu.

Skuad negara turut bergelar juara antara regu dan kuadran -- dua cara yang tidak disertai musuh tradisi itu.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen