Perak Bison menewaskan pasukan dari Thailand, Manang City Voyagers, secara straight set dalam pertembungan separuh akhir Piala Juara Liga Sepak Takraw (STL) 2017 untuk bertemu juara Liga Premier, Penang Black Panthers, di pentas final, esok.

Aksi di Stadium Tertutup MBSJ, Serdang Jaya, itu tadi menyaksikan Manang City gagal menyekat kemaraan Perak Bison.

Pujian harus diberikan kepada kedua-dua pasukan yang menyajikan detik-detik dramatik.

Kualiti yang ditampilkan seimbang sejak awal dengan kedua-dua pasukan memberikan asakan hebat untuk meraih mata-mata penting. Set pertama berpihak kepada Perak Bison selepas memecah keringat untuk meraih keputusan 21-17.

Cabaran sengit berterusan dalam set kedua. Suasana di dalam gelanggang semakin tegang setelah kedua-dua pasukan dipisahkan dengan hanya satu mata di penghujung set.

Pemain-pemain sedikit gementar dalam mata-mata akhir di samping cuba mengelak daripada melakukan kesilapan yang mampu membawa padah.

Akhirnya, sokongan padu yang diberikan penyokong tempatan menjadi pemangkin semangat kepada tekong Perak Bison, Meor Zulfikar Mat Amin, untuk meraih mata kemenangan buat Perak, sekaligus mara dengan kemenangan 23-21.

"Keserasian kami berjaya menghasilkan permainan terbaik pada malam ini. Terima kasih kepada semua yang memberi sokongan," kata perejam Perak Bison, Muhammad Fazil Mustapa.

Terdahulu, Penang Black Panthers menempah tempat dalam perlawanan akhir selepas menidakkan cabaran Kelantan Warriors 21-14, 21-15.