Piala Juara-Juara STL: Warriors yakin atasi Antlers

Oleh Farizal Yusoff 22 Disember 2019 1289
Piala Juara-Juara STL: Warriors yakin atasi Antlers
Berdasarkan persiapan dan kemampuan pemain, Kelantan Warriors yakin mampu menumpaskan Negeri Sembilan Antlers dalam aksi pembukaan Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru, petang ini.

Kejayaan mendapatkan tekong terbaik STL musim ini, Ahmad Aizat Azmi, dan apit kanan Kelab Navy Thailand, Wutthikai Rattanasut, menambah kekuatan skuad kendalian Awie Awang itu.

Pengurus Warriors, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan, gembira dengan prestasi terkini pemainnya yang cukup bersedia bagi menghadapi saingan kali ini.

"Semua pemain cergas sepenuhnya dan Aizat (Azmi) bakal membuat penampilan pertama bersama Warriors.

"Kami juga gembira dengan aksi terbaik apit kanan import (Wutthikai) yang mampu memberi lebih pilihan kepada jurulatih dalam memilih strategi terbaik mengalahkan lawan," katanya.

Ahmad Syazwan juga mengingatkan pemainnya supaya mengurangkan kesilapan mudah dan berhati-hati dengan serangan padu Antlers.

"Kami tewas kepada Antlers dalam liga dan berharap pemain mampu bangkit untuk menebus balik kekecewaan itu.

"Biarpun Antlers memiliki tekong dan apit kanan terbaik negara, kami yakin mampu mengejutkan mereka petang ini," ujarnya.

Untuk rekod, Kelantan Warriors diundi dalam Kumpulan A bersama Antlers, Perak Bison, Singapore Lions dan Korea Haechi.

Kredit Foto: STL

Tentang Penulis

Farizal Yusoff

Komen