Selepas kalah kepada Negeri Sembilan Antlers dan Perak Bison, Kelantan Warriors berazam bangkit mencipta kemenangan apabila turun menentang pasukan undangan, Singapore Lions, dalam Piala Juara-Juara Liga Sepak Takraw (STL) di Studio Iskandar Malaysia, Johor Bahru, hari ini.

Kelantan Warriors yang tumpas 1-2 kepada juara STL musim ini, Perak Bison, perlu bangkit mencari kemenangan jika masih menyimpan hasrat ke separuh akhir dari Kumpulan A.

Pengurus Warriors, Ahmad Syazwan Muhammad Hassan, mengakui pertahanan Warriors agak longgar ketika diasak oleh tekong import Bison, Nattawut Naewprom, biarpun sudah memiliki kelebihan memenangi set pertama.

"Kami akui sukar untuk mengatasi variasi servis Nattawut dan serangan yang diketuai perejam, Ramadhan Suhaimi, juga cukup tajam memerangkap pertahanan kami.

"Tidak ada lagi sebarang pilihan dan kami perlu memikirkan strategi terbaik untuk menumbangkan Lions dan meraih kemenangan pertama," ujarnya.

Ahmad Syazwan juga masih berteka-teki mengenai senarai pemain utama yang bakal diturunkan tetapi tidak menolak kemungkinan tekong utama negara, Ahmad Aizat Azmi, bakal memulakan aksi terlebih dahulu.

"Insya-Allah, Aizat (Azmi) cukup bersemangat untuk membantu pasukan memburu kemenangan pertama.

"Begitu juga, semangat tinggi yang ditunjukkan apit kanan import, Wutthikai Rattanasut, yang sudah tidak sabar untuk beraksi," katanya.

Kredit Foto: STL